Dodge Challenger SRT Demon – kereta produksi paling pantas, padat dengan 840 hp dan 1,075 Nm

Dodge Challenger SRT Demon – kereta produksi paling pantas, padat dengan 840 hp dan 1,075 Nm

Selepas beberapa bulan mengeluarkan satu persatu video teaser, akhirnya Dodge Challenger SRT Demon muncul di khalayak ramai semasa New York Auto Show. Antara sebab utama Dodge melakukan promosi besar-besaran berkenaan kereta ini adalah kerana ia adalah kereta produksi paling pantas di dunia.

Catatan masa yang mampu dilakukan oleh Demon sememangnya menakjubkan iaiatu 0-30 bsj (48 km/j) dalam 1 saat, 0-60 bsj (97 km/j) dalam 2.3 saat, manakala dari statik ke jarak suku batu (400 m) dalam 9.65 saat, pada kelajuan paling tinggi 225 km/j.

Catatan ini sangat pantas, sehinggakan ia melebihi had yang ditetapkan oleh United States National Hot Rod Association (NHRA) untuk beraksi dalam litar ahli NHRA untuk kategori kenderaan produksi OEM (9.99 saat pada 217 km/j).

Semua nombor prestasi ini adalah hasil daripada penggunaan enjin HEMI V8 6.2 liter supercharged, yang merupakan versi ubah suai daripada enjin standard Hellcat. Daripada enjin yang sudah cukup berkuasa tu, Dodge menukar supercharger 2.7 liter yang lebih besar, dan ia boleh beroperasi pada tekanan lebih tinggi, iaitu 14.5 psi. Turut digunakan adalah valvetrain kelajuan tinggi, penyambung rod dan piston lebih kuat, serta pelincir yang lebih baik.

Kemudiannya, terdapat kotak udara yang lebih besar, yang mana mendapat udara melalui tiga salur – atas bonet, lubang di lampu hadapan sebelah pemandu dan berhampiran roda. Hasilnya, kuasa yang dapat dihasilkan adalah berjumlah 840 hp dan 1,044 Nm tork, iaitu 133 hp dan 164 Nm lebih tinggi berbanding Hellcat yang sudah cukup berkuasa. Jumlah ini juga menjadikan enjin Demon sebagai enjin V8 paling berkuasa pernah diletakkan pada kenderaan produksi.

Satu lagi perkara pertama kali dilakukan bagi kenderaan produksi adalah Power Chiller, iaitu sistem yang dapat menghalakan penyejuk pendingin hawa kepada sistem supercharger. Turut dilengkapkan adalah After-Run Chiller, yang membiarkan kipas penyejuk enjin dan pam penyejuk litar suhu rendah terus beroperasi selepas enjin dimatikan.

Dari enjin, kuasa ini disampaikan kepada tayar drag (diluluskan untuk penggunaan jalan biasa) Nitto NT05R 315/40R18 di belakang melalui kotak gear automatik TorqueFlite lapan kelajuan, dengan torque converter yang dinaik taraf supaya dapat meningkatkan pembahagian tork sebanyak 18%. Penguncian transmisi juga dijadikan lebih cepat. Turut digunakan adalah prop shaft, differential belakang serta half shaft yang diperkuat.

Dodge Challenger SRT Demon – kereta produksi paling pantas, padat dengan 840 hp dan 1,075 Nm

Pada kotak gear ini, terdapat trans-brake, yang boleh mengunci output shaft, seterusnya membenarkan enjin meraung sehingga 2,350 rpm, sementara kereta masih kekal pegun, dan apabila penukar gear di stereng ditarik, ia dapat memberikan pelepasan pecutan pertama 30 milisaat lebih pantas berbanding perlu menekan brek.

Sementara itu, ciri Torque Reserve pula menutup injap bypass untuk memenuhkan tekanan dalam supercharger lebih awal, dan menguruskan aliran minyak serta pemasaan percikan, seterusnya mengimbangkan kitaran enjin dan tork. Dengan semua itu, ia dapat menghasilkan pecutan pertama lebih cepat dan masa pecutan suku batu lebih pantas sehingga 1/10 saat. Ciri Drag-mode Launch Assist pula dapat mengesan sebarang loncatan pada tayar belakang dan jika ada, ia akan mengurakan tork enjin supaya komponen lain tidak rosak.

Bagi memastikan kenderaan ini kekal stabil, Dodge menggunakan penyerap Bilstein adaptif, dengan ciri Drag Mode, yang dapat melembutkan lantunan pada bahagian depan untuk memindahkan sebanyak mungkin berat kepada bahagian roda belakang, seterusnya meningkatkan cengkaman sehingga 11%. Pemindahan berat juga telah dipertingkat dengan penggunaan spring lebih lembut dan anti-roll bar, sementara knuckle belakang khas dapat mengurangkan camber negatif sehingga 0.5 darjah untuk meningkatkan cengkaman.

Drag Mode juga menutup ciri traction control supaya pemandu dapat melakukan burnout, tetapi masih mengekalkan stability control aktif untuk kelebihan di jalan lurus. Fungsi line lock juga dipasang, mengunci roda hadapan, tetapi membiarkan roda belakang berpusing secara bebas untuk memanaskan tayar.

Sebagai tambahan, Demon juga 91 kg lebih ringan berbanding Hellcat, hasil daripada pengurangan barang seperti tempat duduk penumpang hadapan, tempat duduk belakang, alas kaki, pembesar suara, amplifier, mastic sealant, kolum stereng kuasa dan pengesan undur. Turut membantu adalah anti roll bar lebih ringan, angkup brek empat piston dengan cakera yang lebih kecil, serta rim yang ringan.

Pembeli juga boleh mendapatkan pakej Demon Crate, penuh dengan komponen yang direka khas untuk perlumbaan drag. Ini termasuk modul pengawal enjin prestasi dengan kalibrasi minyak oktana tinggi, modul suis dengan butang khas untuk pilihan oktana tinggi, penapis udara prestasi dan rim drag hadapan yang lebih kurus. Turut diberi adalah jek hidraulik lantai, spanar impak tanpa wayar dan pengukur tekanan tayar.

Kereta ini akan dihasilkan dalam unit yang terhad, dengan 3,000 daripadanya adalah untuk pasaran Amerika Syarikat, manakala 300 lagi adalah untuk Canada. Semua pembeli juga akan menerima sesi pemanduan prestasi tinggi di Bob Bondurant School of High-performance Driving, sama seperti pembeli model SRT lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required