BMW 740Le iPerformance siap untuk pelancaran M’sia

Teaser terbaru di laman Facebook rasmi BMW Malaysia kini mengesahkan ketibaan model 740Le untuk pasaran Malaysia. Bukan sekadar itu sahaja; dari iklan berkenaan juga, dua ciri inovasi terkini BMW turut akan melengkapi model berkenaan – BMW Laserlight dan BMW iPerformance.

BMW iPerformance merujuk kepada kenderaan plug-in hybrid BMW, yang turut termasuk di dalamnya dua model lain yang sudah diperkenalkan di sini; X5 xDrive40e dan 330e. 740Le juga akan menyertai varian lain 7 Series yang dijual di sini, iaitu 730Li dan 740Li sebelum ini.

Model terbaru ini menggunakan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 258 hp dan 400 Nm, dibantu juga oleh motor elektrik 113 hp/250 Nm untuk memberikan output akhir sebanyak 326 hp dan 500 Nm. Jika 730Li memiliki bacaan penggunaan minyak 5.8 liter per 100 km (manakala 740Li dengan pada kadar 6.6 l/100km), 740Li pula didakwa mampu memberikan bacaan 2.2 hingga 2.0 liter per 100 km.

Dari segi prestasi, 740Le akan memberikan bacaan 0-100 km/j dalam tempoh 5.7 saat, menjadikannya lebih pantas daripada 730Li (6.3 saat) dan hanya sedikit perlahan berbanding 740Li (5.6 saat). Bagaimanapun, 7 Series dengan ciri plug-in hybrid ini turut mampu memberikan pacuan elektrik sepenuhnya dalam jarak maksimum 48 km, dengan kelajuan maksimum dalam mod ini selaju 140 km/j.

740Le juga hadir dengan lampu utama BMW Laserlight (sebagai pilihan pada pasaran tertentu) serta bumbung panoramik Sky Lounge (standard bagi 740Li) – jika disandarkan kepada iklan awal yang didedahkan oleh BMW Malaysia itu. Walaupun harganya belum diumumkan, 740Le dilihat akan berada di sekitar harga yang sama model sedan premium dengan insentif EEV seperti Mercedes-Benz S400L Hybrid, yang ketika ini dijual pada harga RM598,888.

GALERI: BMW 740Le plug-in hybrid

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required