GALERI: Model dan teknologi konsep Haval di pusat penyelidikan dan pembangunan miliknya di China

GALERI: Model dan teknologi konsep Haval di pusat penyelidikan dan pembangunan miliknya di China

Sebelum bermulanya Shanghai Motor Show minggu ini, kami dan rombongan media permotoran Malaysia telah di beri peluang untuk melawat fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengeluar SUV dari China, Haval, yang terletak di Baoding.

Antara yang menarik pada pusat R&D berkenaan adalah sebuah bilik yang mempamerkan kereta-kereta konsep dari Haval yang telah pun didedahkan sebelum ini serta teknologi-teknologi lain yang sedang diteroka serta ada daripadanya bakal muncul dalam bentuk produksi tidak lama lagi.

Gambar model konsep diatas model yang digelar Haval Coupe Concept yang bakal diperkenalkan dalam bentuk model produksi sebenar pada Shanghai Motor Show nanti. Walau bagaimanapun, ia tidak akan dipasarkan dengan nama Haval, sebaliknya menerusi jenama Wey – divisi mewah seperti apa yang dilakukan oleh Toyota-Lexus atau Nissan-Infiniti, di mana nama berkenaan diambil sempena nama pengasas Haval iaitu Jack Wey.

Tiada perincian lanjut rasmi diberitahu kepada kami berkenaan model produksi sebenar ini, namun mereka mengesahkan salah satu enjin unit janakuasa baharu yang dipamerkan – enjin 2.0 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api tunggal, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) automatik tujuh-kelajuan dari Getrag – bakal menjana SUV mewah baharu berkenaan.

Menerusi video pendek yang disiarkan kepada kami juga, mereka mengesahkan SUV premium baharu ini bakal diberikan pelbagai teknologi yang menyamai pesaing-pesaingnya dari Eropah termasuk sistem Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert, Pemantau Titik Buta (BLIS) dan lain-lain. Ia juga diberikan pelbagai ciri-ciri bantuan pemanduan antaranya Adaptive Cruise Control, Emergency Autonomous Braking, sistem parkir automatik (selari dan menegak) dan pelbagai lagi.

Selain dari SUV ini, model konsep lain seperti HR-02 dan Concept-B turut dipamerkan selain jentera perlumbaan yang dibina untuk bertanding di Rali Dakar. Haval turut mempamerkan model konsep sedan elektrik sepenuhnya dan juga keratan rentas teknologi konsep sistem hibrid pacuan-semua roda (dengan motor elektrik dipadankan terus pada gandar belakang) bersama enjin petrol turbo.

Namun, pihak Haval dan Go Auto (pengedar Haval di Malaysia) mengesahkan mereka tiada perancangan untuk membawa Wey ke pasaran negara kita buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, dalam masa terdekat mereka dijangka bakal mendedahkan sedikit spesifikasi SUV segmen-C H6 Coupe dan SUV ladder frame H9 yang bakal menerjah masuk kepasaran Malaysia tidak lama lagi, termasuk harga anggaran kedua-dua buah model tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.