Tahukah anda buluh merupakan material semula jadi yang paling kuat di dunia? Jika fakta ini tidak tepat, tentu tidak wujud rakit, rumah, malah ada jambatan yang di bina dari buluh bukan? Menyedari kelebihan yang ada pada buluh, Ford akan melabur untuk penyelidikan bagi pembangunan meterial baharu yang kuat seperti gentian karbon dan ringan seperti aluminium – menggunakan gabungan buluh dan plastik.

Sejak berberapa tahun kebelakangan ini, Ford telah bekerjasama dengan pembekalnya untuk menilai kebolehan buluh bagi digunakan sebagai material untuk komponen bahagian dalaman, dan membuat komponen yang lebih kuat dengan gabungan plastik. Pasukan penyelidik berkenaan menemui bahawa buluh menunjukkan prestasi secara komprehensif lebih baik dari bahan sintetik dan semulajadi lain yang turut diuji. Antara ujian yang dilakukan termasuk ujian kekuatan tegangan, kekuatan tahan impak serta ujian suhu tinggi sehingga 212 darjah Farenheit.

“Buluh sangat menakjubkan,” kata penyelia kejuruteraan material di Pusat Penyelidikan dan Kejuruteraan Ford Nanjing. “Ia kuat, fleksibel, boleh diperbaharui sepenuhnya, dan sangat banyak China dan di bahagian lain dalam Asia,” tambahnya. Selain senang didapati, buluh juga boleh tumbuh dan matang sepenuhnya dalam masa hanya dua hingga lima tahun.

Selain dari buluh, Ford sebenarnya telah pun menggunakan bahan-bahan mesra alam lain untuk penghasilan komponennya. Antaraya ialah Kenaf iaitu tumbuhan tropika dari keluarga kapas yang digunakan sebagai alas pintu untuk Ford Escape, serta fabrik Repreve iaitu fabrik yang dihasilkan dari botol plastik, digunakan pada trak pikap F-150.