Seperti yang dimaklumkan semalam, Kia Sportage 2.0 GT telah pun menerima varian baharu iaitu versi diesel 2.0D GT CRDi. Ia telah pun berada di semua bilik pameran Kia di seluruh negara dan ditawarkan pada harga RM159,888.

Varian ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa 184 hp pada takat 4,000 rpm dan tork 400 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm. Penjana kuasa ini turut digandingkan dengan kotak gear konvensional automatik enam-kelajuan. Manakala penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan sekitar 6.5 liter per 100 km (15.4 km/l).

Bagi varian diesel ini, imej luaran dan dalamannya masih dikekalkan seperti versi petrol. Ia menampilkan lampu utama berbentuk tirus yang dipadankan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk bulat bina dalam.

Manakala gril utama dengan rekaan signatur “hidung harimau” Kia terletak pada bampar hadapan. Ia diapit perumah lampu lampu kabus pada kedua-dua sisi, dan turut menempatkan lampu kabus dengan empat LED berbentuk empat segi umpama ‘kiub ais’.

Malah ia turut dipadankan dengan roda aloi kemasan krom bersaiz 19-inci bagi menyerlahkan lagi sifat sporty dan elegan SUV ini.

Pada bahagian belakang, lampu kombinasi juga berbentuk tirusbersama jalur LED tiga baris turut disertakan di dalam lampu berkenaan, imej yang kelihatan sempurna bagi varian GT, sama seperti versi petrol.

Untuk bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan pelbagai elemen teknologi terkini termasuklah sistem infotainmen multimedia, sistem bunyi enam-pembesar suara, kluster supervision dengan skrin TFT-LCD 4.2-inci, kamera undur, pendingin hawa auto dwi-zon, cermin pandang belakang elektrokromik, serta tempat duduk balutan kulit, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan larasan elektronik.

Selain itu, ia turut menampilkan kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng dengan pedal penukar gear, Drive Mode Select (Eco, Normal, Sport), pengesan parkir hadapan/belakang, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Bagi aspek keselamatannya, dipadankan bersama enam beg udara, cagak ISOFIX serta dilengkapi dengan pakej bantuan pemanduan aktif penuh yang terdiri dari Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSM) yang menghubungkan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (MDPS) dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC).