IIMS 2017: Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya

IIMS 2017: Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya

Indonesia International Motor Show (IIMS) 2017 secara rasminya telah pun dibuka pagi tadi, berlangsung di JIExpo, Jakarta dan dilancarkan oleh naib presiden Indonesia Jusuf Kalla. Seperti tahun-tahun sebelum ini, wakil kami Danny Tan hadir ke acara berkenaan untuk meninjau dan memberikan laporan mengenai model-model baharu yang menarik di terima pada pasaran negara tersebut dan juga yang relevan dengan pasaran negara kita.

Untuk permulaan, kami bawakan kepada anda pasangan kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya, yang baharu sahaja diberikan facelift pada awal bulan ini. Kedua-dua model yang dikelaskan sebagai kereta hijau kos rendah (LCGC) di Indonesia ini diproduksi oleh satu syarikat yang sama iaitu Astra Daihatsu Motor. Bagi mereka yang belum mengetahui, kedua-dua model ini juga mempunyai satu lagi kembarnya di Malaysia iaitu Perodua Axia, yang juga telah menerima facelift pada Januari lalu.

Namun apa yang berbeza, Ayla dan Agya kini diberikan pilihan enjin yang lebih berkuasa – 1.2 liter Dual VVT-i menjana 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 108 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin 3NR berkenaan juga merupakan enjin yang sama diberikan pada MPV tiga-baris tempat duduk kos rendah Toyota Calya/Daihatsu Sigra. Enjin empat-silinder DOHC tersebut diberikan dua pilihan transmisi sama ada lima kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

Pilihan enjin 1.0 liter masih lagi ditawarkan pada Ayla dan Agya, tetapi enjin siri KR berkenaan kini telah diberikan sistem VVT-i dari Toyota, sama seperti yang diterima pada Axia facelift. Sistem VVT-i tersebut mampu mengerah kuasa maksima 67 PS/91 Nm, berbanding enjin tanpa sistem injap bervariasi berkenaan sebelum ini yang hanya mampu menghasilkan kuasa 65 PS/86 Nm. Seperti juga versi 1.2 liter, enjin lebih kecil ini diberikan pilihan kotak gear sama ada manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

Daihatsu memberikan pilihan yang sangat luas untuk bakal pembeli Ayla dengan 10 varian disediakan, berbanding Toyota Agya hanya tujuh varian. Model 1.2 liter diberikan rekaan muka baharu untuk membezakannya dari model 1.0 liter, yang direka agak seiras dengan model pre-facelift. Lampu belakang turut diberi unit tambahan pada pintu tailgate untuk rupa yang lebih segar dan membezakan antara versi 1.0 liter dan 1.2 liter.

Varian tertinggi Ayla 1.2 R Deluxe seperti di dalam gambar di atas (warna oren hanya diberikan untuk model 1.2L) hadir dengan lampu posisi LED serta lampu nyalaan siang LED, lampu kabus, lampu isyarat membelok pada cermin sisi, muffler krom serta kit badan. Model ‘R’ ini turut dilengkapi unit pemain audio utama 2-DIN dengan skrin sesentuh serta butang kawalan audio pada stereng. Walau bagaimanapun, sistem kunci pintar bersama butang penghidup serta pemegang pintu tailgate seperti yang terdapat pada Axia facelift tidak diberikan pada adik-beradiknya di Indonesia ini.

IIMS 2017: Kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya

Toyota Agya pula hadir dengan pilihan varain 1.0 E, 1.0 G, 1.2 G dan 1.2 TRD S. Model 1.2 liter menerima Bluetooth, butang kawalan audio, rim aloi 14-inci dua-ton dan juga visor pintu. Bagi model tertinggi TRD S, ia diberikan bampar dengan rekaan “senyuman Joker” serta kit badan lengkap yang terdiri pemanjang pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi serta spoiler bumbung lengkap dengan lampu brek serta logo TRD pada bahagian sisi dan belakang.

Model Agya TRD ini juga satu-satunya model yang ditawarkan dengan warna kuning baharu serta sistem brek ABS (varian tertinggi Ayla turut tidak diberikan sistem ABS).

Kesimpulannya, walaupun model-model yang ditawarkan dengan pakej rupa yang lebih menarik serta enjin yang lebih besar, namun model Axia yang dihasilkan oleh Perodua untuk pasaran Malaysia diberikan ciri keselesaan dan juga keselamatan yang lebih baik. Daihatsu Ayla dijual pada harga bermula 92,550,000 rupiah (RM30,213) hingga 146,250,000 rupiah (RM47,751), manakala Toyota Agya pula dijual pada harga bermula 131,500,000 rupiah (RM42,935) hingga 151,900,000 rupiah (RM49,596).

GALERI: Daihatsu Ayla 1.2 R Deluxe

GALERI: Daihatsu Ayla 1.0 X

GALLERI: Toyota Agya 1.2 TRD S

GALERI: Toyota Agya 1.0 G

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required