Honda Malaysia hari ini mengumumkan bermula 1 Mei 2017, harga atas jalan berserta insuran SUV segmen-B HR-V dan juga segmen-C CR-V 2.0 2WD diubah semula bagi penyesuaian klasifikasi baharu kod tarif duti Kastam Di Raja Malaysia (KDRM). Dengan demikian, kesemua varian HR-V dan juga CR-V varian 2.0 2WD kini dijual dengan harga antara RM400 hingga RM500 lebih rendah dari sebelum ini.

Untuk HR-V, varian asas 1.8L S kini dijual pada harga RM101,100.00 (harga lama RM102,200) manakala varian pertengahan E pula dijual pada harga RM110,700 (harga lama RM111,800) – kedua-duanya RM1,100 lebih murah dari sebelum ini. Manakala bagi varian tertinggi 1.8L V, ia kini dijual pada harga 121,000, atau RM1,200 lebih murah dari sebelum ini.

Untuk CRV 2.0 2WD pula, ia kini dijual pada harga RM 141,500 (harga lama RM142,900), menyaksikan penurunan sebanyak RM1,400. Kesemua harga yang dinyatakan ini merupakan harga atas jalan dengan insuran.

Selain dari pengumuman ini, Honda turut merancang dua kempen khas untuk pelanggannya yang akan berlangsung sepanjang bulan Mei ini. Kempen pertama yang telah pun bermula pada 1 Mei digelar ‘Nikmati Musim Bonus’ bakal memberikan ganjaran bernilai antara RM2,100 hingga RM12,000 kepada pelanggan yang membeli kereta baharu. Kempen ini dijadualkan akan berakhir pada 31 Mei ini.

Kempen kedua pula ialah Acara Bilik Pameran Seluruh Negara yang akan dilangsungkan pada 13 Mei, diraikan bersama sambutan Hari Ibu. Bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang hari tersebut, ibu-ibu dan wanita yang mengunjungi mana-mana pengedar Honda di seluruh negara bakal diberikan bunga ros serta hadiah pandu uji dan juga cabutan bertuah.