Waris mangsa kemalangan di Malaysia saman Takata

Waris mangsa kemalangan di Malaysia saman Takata

Suami kepada Allahyarham Nida Fatin Mat Asis, ibu muda yang maut akibat nahas jalan raya pada 16 April 2016 lalu, telah mengemukakan saman terhadap pengeluar beg udara yang penuh kontroversi, Takata. Allahyarham Dr. Nida yang juga seorang doktor kerajaan, terkorban dalam kemalangan terbabit apabila logam yang terkeluar daripada beg udara tersebut hingga menyusuk kepalanya.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Daerah Michigan Timur, Amerika Syarikat (USA) pada 1 Mei lalu. Menurut pendakwaan tersebut, Allahyarham Nida, 29 tahun, yang memandu Honda City 2016 miliknya, telah terbabas akibat terlanggar lubang di KM22 Kimanis-Keningau menghala ke Kota Kinabalu, Sabah. Beliau didapati memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan dan memakai tali pinggang keledar, walau bagaimana pun mengalami kecederaan teruk akibat tusukan logam daripada beg udara terbabit sehingga mengorbankan nyawanya.

Hasil bedah siasat mendapati serpihan logam tajam telah ditemui terbenam di bahagian tengkoraknya. Di mana serpihan bersaiz lebih satu inci lebar dan dua sentimeter panjang telah menusuk menerusi mulutnya umpama sebutir peluru. Saman tersebut dikemukakan dengan mendakwa beg udara tersebut ternyata tidak selamat, telah meletup mengeluarkan logam tersebut walau pun impak kemalangan dianggap kecil namun menyebabkan kematian Allahyarham Dr.Nida.

Semasa kemalangan tersebut, turut sama dalam kenderaan terbabit ialah suaminya, Abdullah Shamshir Abd Mokti yang turut mengalami kecederaan ringan. Walau bagaimana pun anak lelaki mereka berusia setahun yang turut ada dalam kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut rekod, pasangan suami isteri ini telah membeli model City buatan tahun 2006 pada 2012 dan mereka dikatakan tidak menerima sebarang makluman daripada Honda mengenai pertukaran beg udara terbabit. Lantas mereka tidak menyedari bahawa beg udara Takata tersebut mampu mengancam nyawa sebelum insiden ini berlaku.

Waris mangsa kemalangan di Malaysia saman Takata

“Sepatutnya Nida masih hidup sekarang memandangkan beg udara terbabit seharusnya bertindak melindungi keselamatan di dalam kenderaan. Namun Nida dan suaminya, juga seperti kebanyakan orang lain, tidak menyedari bahaya yang menanti. Kami berusaha membuktikan di mahkamah agar pihak Takata dan Honda mampu memberi jaminan akan keselamatan dan kesejahteraan penggunanya di jalan raya, di mana penggunaan ammonium nitrat pada beg udara tersebut adalah tidak stabil dan amat mudah terbakar,” ujar Kevin Dean, peguambela bagi pihak keluarga Allahyarham Dr.Nida.

Senarai defendan yang terbabit dalam kes saman ini termasuklah Takata Corporation, TK Holdings Inc., Honda Motor Co., Ltd., Honda R & D Co., Ltd., American Honda Motor Co., Inc., dan Honda of America Mfg., Inc.

“Saya mahu menuntut pembelaan sewajarnya di atas kematian isteri saya. Melalui cara ini, kami berharap Takata dan Honda akan bertindak lebih baik dan sewajarnya, terutamanya di Malaysia, dengan memaklumkan semua pengguna yang terbabit bahawa kenderaan yang mereka miliki mempunyai impak besar dalam kes sebegini. Saya berharap tiada lagi keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden menyedihkan seperti ini. Nida seorang wanita yang pintar, baik dan ibu yang sangat menyayangi anak lelakinya,” ujar Azzam pula.

Kejadian yang melibatkan panggilan balik beg udara Takata telah pun bermula pada tahun 2014 dan sehingga kini melibatkan lebih 100 juta kenderaan di seluruh dunia. Malah ia telah menyebabkan insiden yang tidak diingini termasuk melibatkan 130 kes kecederaan dan 16 kematian di seluruh dunia, dengan lima kes daripadanya terjadi di Malaysia, termasuk seorang lagi wanita hamil, Law Suk Leh, yang terkorban dalam kemalangan pada tahun 2014. Firma guaman Motley Rice yang mengendalikan kes Allahyarham Dr.Nida ini turut mencari penyelesaian bagi kes yang melibatkan Suk Leh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required