Mercedes-AMG SLC 43 tiba di Malaysia, harga RM571k

Mercedes-AMG SLC 43 tiba di Malaysia, harga RM571k

Model keenam dari siri AMG 43 yang diperkenalkan di Malaysia bagi meraikan 50 tahun sayap AMG ialah Mercedes-AMG SLC 43. Ia merupakan model terlengkap bagi barisan SLC yang diperkenalkan di sini, selepas pengenalan SLC 200 dan SLC 300 AMG Line. Ia dijual pada harga RM570,888, atas jalan tidak termasuk insurans.

Antara membaharuan yang diberikan bagi roadster R172 generasi ketiga ini, yang dibangun dari model SLK, ialah bampar baru, gril radiator diamond dan lampu utama dengan rekaan baru (dengan ciri LED Intelligent Lights). Di belakang, ruang yang menempatkan hujung ekzos diberi sentuhan baru, termasuk juga lampu belakang yang tampil dengan rekaan lebih segar.

Sama dengan lima lagi model AMG 43 yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan hari ini, SLC 43 dilengkapi dengan enjin M276 DELA dengan kapasiti 3.0L biturbo V6, yang menjana 362 hp pada 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan 520 Nm tork dari 2,000 hingga 4,200 rpm. Daripada semuanya, hanya varian E 43 yang mempunyai output yang lebih tinggi.

Ia digandingkan dengan kotak gear talaan AMG, 9G-Tronic dengan torque converter, yang menggunakan perisian khusus bagi memendekkan masa pertukaran gear. Ia juga menampilkan ciri multiple downshift dan fungsi double declutching dalam mod Sport dan Sport+ (melalui sistem AMG Dynamic Select) – tiga lagi mod yang tersedia ialah Comfort, Eco dan Individual.

Mercedes-AMG SLC 43 tiba di Malaysia, harga RM571k

Bacaan 0-100 km/j yang mampu dicapai ialah dalam masa 4.7 saat. Kelajuan maksimumnya pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Antara ciri standard lain termasuk slip-differential mekanikal AMG pada gandar belakang, sistem brek komposit prestasi tinggi AMG (dengan cakera lebih besar) dan sistem ekzos sport dengan dua penutup automatik – dalam mod biasa, Eco dan Comfort, ia akan tertutup pada kebanyakan waktu.

SLC 43 di Malaysia datang dengan suspesi sport AMG dan menggunakan rim AMG 18 inci. Model ini turut dilengkapi dengan kit TireFit, serta Night Package, yang datang dengan penggayaan hitam berkilat. Di bahagian dalam menggunakan kerusi balutan kulit Nappa serta kemasan gentian karbon. Ia didatangkan dengan tali keledar merah dengan stereng AMG pelbagai fungsi baru dengan tiga jejari, dengan material Nappa dan gentian mikro Dinamica.

Bumbung kaca panoramik, yang boleh dibuka dalam kelajuan hingga 40 km/j, datang dengan Magic Sky Control, yang membolehkan kaca berkenaan dicerah atau digelapkan untuk disesuaikan dengan suasana di luar. Turut ada ialah pembahagi but semi-automatic, penampan angin Airguide, kawalan suhu Thermotronic dwi-zon, kamera undur dan Keyless Go.

Kelengkapan standard lain adalah seperti COMAND Online, yang dipertingkat dengan grafik baru dan kini hadir dengan skrin tujuh-inci dan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem bunyi Harman Kardon Logic 7 menyeluruh melengkapi sisi infotainmen.

Selain itu, SLC 43 turut ditawarkan dengan pembiayaan Agility Financing dari MBM, pada kadar RM5,708 sebulan berbanding RM7,265 sebulan dengan pembiayaan biasa. Ikuti perincian lanjut model ini di Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required