April lalu, UMW Toyota telah pun mengumumkan penambahan aksesori yang diberikan secara standard bagi model Vios. Varian yang dipertingkatkan ini telah pun berada di pasaran.

Ia merupakan model yang dipertingkatkan dari varian G, yang kini menerima cermin sisi boleh lipat automatik, pemain DVD-AVN baharu yang memaparkan imej panoramik menunjukkan pemandangan 360 darjah kenderaan menerusi empat kamera di bahagian luar, dan juga Dash Cam untuk merakam pemanduan. Ciri ini bukan sahaja standard untuk G, malah ia juga standard untuk varian GX dan TRD Sportivo.

Kesemua varian Vios 2017 kini turut menerima satu slot pengecas USB yang terletak pada bahagian depan tapak tombol gear untuk memudahkan pengguna, manakala untuk varian E pula, ia turut menerima pemain DVD-AVN baharu bersama kamera undur 360 darjah.

Selain itu, varian J juga boleh dilengkapi dengan monitor berkenaan sebagai sebahagian daripada pakej infotainmen DVD-AVX dengan kos tambahan RM4,441.90. Manakala untuk pembeli Vios 1.5E, ciri cermin sisi automatik boleh dimiliki dengan harga RM318.

Harga pula kekal seperti sebelumnya; Vios 1.5J dijual pada RM76,500; 1.5J Auto pada harga RM79,800; 1.5E auto pada RM83,900; 1.5G pada RM89,800; 1.5GX pada harga RM92,800 dan TRD Sportivo pula dijual dengan harga RM96,400.

Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana Vios masih lagi dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin tersebut kini dipadankan dengan transmisi CVT bersama mod tujuh-kelajuan maya, manakala varian asas J masih diberikan pilihan transmisi manual lima-kelajuan.

GALERI:Toyota Vios 1.5L G 2017