cof

Ketika dilancarkan pada Mac lalu, BMW 5 Series generasi G30 hanya ditawarkan dalam varian 530i M Sport, dengan harga jualan RM398,800. Tetapi, bagi yang inginkan prestasi lebih tinggi bagi model berkenaan, kini pakej M Performance ditawarkan. Unit yang dilihat ini dipamerkan ketika pembukaan pusat agihan alat ganti serantau BMW di Senai.

Antara kelengkapan yang ditambah pada unit ini ialah rim 20-inci 669M dua warna dengan tayar run-flat, dijual pada harga RM33,103. Gril “kidney” hitam berkilat pula pada harga RM543.60 setiap satu bagi satu sisi, pelindung cermin sisi gentian karbon pada harga RM1,976.30 setiap satu, diffuser gentian karbon di belakang pada harga RM10,147.95 serta spoiler gentian karbon pada harga RM4,282.80.

BMW 530i M Sport ini dilengkapi dengan aksesori M Performance berjumlah RM52,573.55. Tetapi, bukan itu saja. Pilihan lain yang tersedia ialah rim 20-inci pelbagai rekaan, dari harga bermula RM27,287.60 hingga RM33,103. Kit brek BMW M Performance dengan kaliper merah juga ada pada harga RM23,557.70. Kit badan sisi juga ditawarkan pada harga RM1,274.90 setiap satu.

Lain-lain kelengkapan yang ditawarkan termasuk splitter hadapan gentian karbon (RM7,176) sebagai tambahan. Di belakang, kemasan bampar boleh dipilih, dengan harga RM3,448.20, sama juga dengan diffuser hitam kesat pada harga RM2,174.60. Spoiler belakang dalam warna hitam kesat juga ditawarkan pada harga RM1,946.05.