Honda HR-V dikatakan bakal dipertingkatkan tidak lama lagi. Menurut laporan CarAdvice, crossover segmen-B ini bakal tampil dengan model facelift di Australia awal tahun hadapan.

Pengesahan ini dikatakan dari pengarah Honda Australia Stephen Collins, walau pun perincian penuhnya tidak didedahkan. Namun ada yang menyarankan agar HR-V patut menerima sistem infotainmen baharu dengan navigasi satelit, menggantikan sistem berasaskan telefon pintar seperti sekarang ini – dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Honda juga boleh menjadikan sistem seperti dalam City termasuk Sistem Brek Aktif dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) – termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Ketibaan Lorong dan Sistem Sokongan Lampu Tinggi, sebagai standard untuk semua varian.

“HR-V adalah sangat konsisten. Secara purata sekitar 1,000 (unit) sebulan, kadangkala lebih, kadangkala kurang. (Toyota) C-HR baru saja masuk pasaran dan kita masih di peringkat konsisten. Jadi kita harus sediakan pakej yang terbaik.

“Kami sangat gembira, biar pun semakin banyak pesaing muncul. Lebih banyak yang datang, pastinya, kami akan melakukan lebih pembaharuan. Kalau mengikut kitaran yang biasa, tahun hadapan mungkin ada sedikit perubahan dilakukan,” ujarnya.

Tahun hadapan, dijangkakan model facelift mungkin akan ditampilkan dengan peningkatan visual seperti mana yang diperkenalkan pada City dan Jazz tahun ini, termasuk lampu utama LED sepenuhnya (model semasa hanya menawarkan pilihan LED untuk low beam), gril yang disemak semula dan bampar hadapan serta belakang yang diprofilkan. Malah dijangka kekemasan dalaman turut dipertingkatkan.

Walau bagaimana pun, bahagian mekanikalnya mungkin dikekalkan. Seperti Malaysia, Australia menampilkan pilihan 1.8 liter i-VTEC dengan CVT dan pacuan semua-roda, namun di pasaran lain turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter dan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda. Di Jepun pula, turut ditawarkan dengan versi hibrid yang menggunakan sistem i-DCD Sport Hybrid.

Mengenai kotak geak manual, Collins berkata,”Jika kita ada pilihan untuk berbuat demikian, pasti kita telah melakukannya. Saya tidak merasakan ia bakal memberikan kesan terhadap jumlah jualan yang kita capai, namun pesaing yang menawarkan varian manual pun tidak mampu menjualnya dengan jumlah yang banyak. Jika ada pilihan lain untuk kita, pasti kita akan melakukannya.”

Collins turut menambah, Honda dilihat masih mahu mengekalkan HR-V dalam barisannya, malah ia adalah antara kekuatan jualan di sana. “HR-V sangat berjaya di sana, jadi kita mengekalkan pilihan yang ada buat masa sekarang. Malah ia turut menerima banyak maklumbalas daripada para pelanggan yang berpendapat ia merupakan kenderaan yang mempunyai prestasi yang bagus dan penjimatan bahan api yang efisien,” ujarnya lagi.