Hujung minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia menaikkan sebuah teaser di laman Facebook rasminya, memamarkan gambar kelam dengan wajah hadapan sebuah kenderaan. Profil yang kelihatan itu mencadangkan ia sebuah Mercedes-Benz GLA yang diperbaharui.

Model facelift versi X156 itu bakal menyertai A-Class W176 dan CLA-Class C117 untuk pasaran tempatan, melengkapi barisan model utama dengan platform MFA yang ditawarkan di negara ini. Berdasarkan iklan ringkas itu juga, pengenalan rasminya adalah pada 25 Mei nanti.

Sama seperti sebelum ini, tiga varian dijangka akan ditawarkan di sini; GLA 200, GLA 250 dan GLA 45 4Matic yang mula diperkenalkan di sini sejak November 2014. Output bagi dua varian awal itu juga kekal sama; enjin 1.6L pada GLA 200 menghasilkan 154 hp/200 Nm manakala enjin GLA 250 pula dengan 208 hp dan 350 Nm.

Enjin M133 2.0 liter pada GLA 45 4Matic pula akan menampilkan kuasa dari versi kemaskini dari tahun 2015, dengan angka 375 hp dan 475 Nm (pertambahan 20 hp dan 25 Nm). Selain daripada perubahan luaran padanya, ciri lain yang turut ditambah ialah Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, sistem kamera 360 darjah serta skrin paparan lapan inci.

Mercedes-Benz GLA facelift di Hungary