Mulai hari ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah menyediakan bas perantara bagi melengkapkan perkhidmatan KL Monorail iaitu bagi waktu kemuncak pagi dan petang.

Bas perantara itu disediakan antara Stesen KL Sentral di hadapan NU Sentral dan Stesen Raja Chulan iaitu antara setiap tujuh dan 15 minit di beberapa stesen yang sibuk antara pukul 7 dan 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam, laporan Bernama.

“Bas perantara itu juga disediakan antara Stesen Chow Kit dan Bukit Bintang di hadapan Plaza Sungei Wang, serta antara Stesen Hang Tuah dan Raja Chulan,” kata Datuk Zohari Sulaiman, CEO Rapid Rail, dalam kenyataannya semalam.

Beliau berkata tambang RM1 dikenakan kecuali di stesen bersepadu Hang Tuah bagi penumpang dari Laluan Sri Petaling/Ampang di mana mereka dikecuali daripada tambang.

“Sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas perantara itu, penumpang juga boleh memilih bas percuma Go KL khususnya Laluan Biru Go KL antara Chow Kit dan Bukit Bintang, serta Laluan Hijau Go KL antara KLCC dan Bukit Nanas. Kami akan memantau corak perjalanan penumpang serta keperluan mereka dan akan menyusun semula jadual bas jika diperlukan,” katanya.

Beliau berkata bas perantara itu diperkenalkan sebagai pilihan kerana KL Monorail beroperasi menggunakan dua tren sahaja bagi satu-satu perjalanan setiap lapan minit sehingga diberitahu kelak, berikutan pemberhentian perkhidmatan empat tren setiap perjalanan sejak Jumaat lepas.

“Kami telah mengenal pasti beberapa perkara berkaitan keselamatan berkaitan perkhidmatan menggunakan empat tren dan telah meminta Scomi, pengeluar tren itu, untuk melakukan kerja penambahbaikan serta menilai semula sama ada ia layak digunakan. Ini bagi memastikan tren itu sesuai beroperasi dan keselamatan awam tidak diketepikan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zohari turut berkata, lebih ramai tenaga kerja termasuk polis bantuan dan staf operasi akan ditempatkan di stesen bagi membuat kawalan orang ramai serta membantu penumpang.

Bagi mengetahui status perkhidmatan tersebut, sila layari Facebook @myrapid dan Twitter @AskRapidKL atau @MyRapidKL.