Walau pun belum tiba masanya untuk mendedahkan projek khas ini dengan lebih terperinci, namun jurucakap Mercedes-Benz Australia David McCarthy, telah mengesahkan negara tersebut bakal menerima lapan hypercar bagi Mercedes-AMG ‘Project One’, dengan salahnya satunya adalah untuk New Zealand.

Bercakap kepada CarAdvice di Nurburgring 24 Hour hujung minggu lalu, sebanyak 16 pesanan tetap telah diterima bagi hypercar bernilai $2 juta euro tersebut. Namun hanya lapan unit akan ke Australia, satu unit ke New Zealand dan selebihnya ke negara lain.

McCarthy berkata, pihaknya memang mahu menempah lebih, namun produksi yang terhad iaitu hanya menghasilkan sebanyak 275 unit, yang dilaporkan telah habis dijual.

Hypercar bagi Project One ini membawakan teknologi Formula One di jalan raya, di mana sumber penjana kuasanya didatangkan secara terus dari pasukan Mercedes-AMG Formula One. Ia menampilkan enjin yang sama 1.6 liter pengecas turbo, dengan dipadankan bersama empat motor eletrik Project One yang dijangka mampu menghasilkan kuasa sehingga 1,000 hp.

Bos besar AMG Tobias Moers berkata, pihaknya tidak menyasar untuk membina jentera produksi terpantas di dunia, tetapi sebagai penanda aras bagi kereta prestasi tinggi dan penggunaan tenaga yang efisien.

Bagi spesifikasi model yang boleh digunakan di atas jalan raya, ia ditala dari enjin Mercedes F1 dengan rev yang terhad sehingga 11,000 rpm, iaitu kurang 2,500 rpm berbanding enjin spesifikasi jentera-lumba F1. Walau pun ada pengurangan rev, namun enjin 1.6 liter pengecas turbo enam-silinder ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 750 hp dan meningkat 1,000 hp dengan bantuan empat motor elektrik Project One yang dijanakan oleh bateri lithium-ion.

Motor elektrik pada bahagian hadapan akan menyalurkan kuasa terus ke roda hadapan, membolehkan pacuan empat-roda digerakkan, dan ia digelar sebagai “penvektoran tork agresif”. Mercedes-AMG mendakwa Project One mampu menggunakan sepenuhnya kuasa elektrik sehingga jarak 25 km.

Sementara dua lagi motor elektrik tidak menyalurkan kuasa terus ke roda tetapi satunya akan memacau pengecas turbo untuk menyingkirkan turbo lag, sementara satu lagi pula membantu kuasa mengendalikan aci engkol (crankshaft). Butiran penuh mengenai angka prestasi jentera dan perincian lanjut mengenainya hanya akan didedahkan di Frankfurt Motor Show tidak lama lagi.