Pihak berkuasa di China telah memberikan lesen kepada BMW yang membenarkan jenama itu mengeksport kenderaan yang diperbuat di negara tembok besar tersebut menerusi usaha sama BMW Brilliance. Sekaligus membuka peluang bagi model BMW buatan China untuk dimiliki oleh pelanggan di pasaran lain termasuk Eropah dan Amerika Syarikat, seperti yang dilaporkan oleh Automotive News.

“Kami memperoleh lesen eksport bagi kerjasama tersebut tetapi setakat ini kami belum membuat sebarang keputusan untuk eksport memandangkan kami perlu memproduksi bagi pasaran tempatan,” ujar Olaf Kastner, ketua BMW di China. Soal kualiti bagi kereta dari China juga dipertimbangkan, namun BMW percaya perkara ini dapat diatasi kerana kereta buatan negara tersebut telah mencapai tahap seperti mana yang diproduksi di Jerman dan USA.

Tahun lalu, BMW telah memproduksi lebih 300,000 kenderaan menerusi dua fasiliti di China yang terletak di Dadong dan Tiexi, yang melibatkan model seperti 1 Series Sedan,2 Series Active Tourer, 3 Series, 5 Series dan X1 (X3 bakal menyertai pada masa akan datang). Walau pun ia merupakan model paling layak untuk dieksport, namun menurut Kastner, pihaknya masih belum membuat sebarang rancangan kerana “semuanya adalah untuk pasaran tempatan”.

Pengeluar kenderaan lain yang turut mendapat lesen eksport ialah Volvo, di mana ia merupakan syarikat luar pertama yang mengeksport kereta buatan China ke Eropah dan USA menerusi model S60L dan terbaru, S90. Malahan syarikat terbabit juga mempunyai perancangan untuk memproduksi kereta elektrik sepenuhnya yang pertama di negara berkenaan dan bakal dieksport ke pasaran global.