Konsortium Lebuhraya Utara – Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan, mulai hari ini sehingga 9 Jun depan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dari arah Gombak dan Ampang menghala ke Lebuhraya Utara Selatan – Damansara ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelancaran rasuk bagi projek Duke 2.

Menurut Pengarah Projek Kesturi, Zakaria Shaffie, jalan tersebut akan ditutup bermula pukul 12 malam hingga pukul 5 pagi dan sebagai laluan alternatif, pengguna dari arah tersebut dan selayang yang menghala ke Jalan Duta boleh menggunakan susur keluar ke Jalan Kuching menghala ke Jalan Tunku Abdul Halim.

Manakala bagi pengguna dari arah Jalan Ipoh dan Jalan Duta yang ingin menghala ke Gombak, Ampang dan Jalan Kuching boleh menggunakan lencongan jalan yang disediakan sebelum ke Jalan Kuching dan Selayang.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati para pengguna lebuhraya terbabit agar memandu lebih berhati-hati serta mematuhi arahan papan tanda di sepanjang kawasan kerja-kerja pembinaan.