Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

2015 Lancer Evolution Final Edition

Sebelum ini, Mitsubishi telah mengesahkan bahawa sedan segmen-C mereka iaitu Lancer tidak akan diteruskan untuk generasi-generasi seterusnya setelah jenama berkenaan menetapkan haluan untuk menumpukan terhadap penghasilan SUV. Pengumuman berkenaan seterusnya turut mengesahkan legasi sedan berpretasi tinggi yang diasaskan menerusi penyertaan Mitsubishi dalam kancah WRC – Lancer Evolution – berakhir pada model Exo X.

Namun laporan terbaharu dari portal Australia, Motoring, menyatakan bahawa jenama dari Jepun ini bakal membawa semula lencana Evolution ke pasaran dalam masa enam tahun lagi. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh ketua global Mitsubishi, Trevor Mann, menjelaskan bahawa model berprestasi tinggi baharu merupakan antara perkara yang dirancang oleh jenama Jepun berkenaan.

“Dari sudut jenama, saya rasa agak menarik untuk membawa semula sesuatu yang agak sporty pada masa hadapan. Anda perlu tunggu dan lihat apa dia sebenarnya,” kata Mann.

Namun, dengan ketiadaan Lancer generasi baharu mahupun sedan-sedan atau model coupe Mitsubishi lain, bagaimana untuk membawa semula Evolution ke pasaran? Menurut Mann lagi, ia tidak semestinya muncul dalam bentuk sedan di mana Evolution generasi baharu ini berkemungkinan besar dibina dalam bentuk SUV.

Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

Sebenarnya, jika perkara ini benar-benar terjadi, ia bukan SUV Evolution pertama keluaran Mitsubishi di mana mereka pernah tampil dengan model Pajero Evolution pada tahun 1997. Seperti juga ‘LanEvo’, ‘PajEvo’ ini dibina sebagai homologasi rali FIA bagi membolehkan jentera berkenaan bertanding dalam Rali Dakar dalam kelas T2. Dikuasakan dengan enjin V6 3.5 liter menjana 276 hp/348 Nm, Pajero radikal berkenaan turut diberikan tempat duduk Recaro, badan lebih lebar, dan pelbagai lagi.

Walau bagaimanapun, untuk model Evolution generasi baharu nanti mungkin akan diasaskan dari model lain kerana Mann menyatakan Pajero Sport bakal dijadikan model halo untuk Mitsubishi tetapi tidak disasarkan untuk menerapkan konsep prestasi tinggi.

“Saya rasa berberapa jenama telah mencipta kereta halo mereka sendiri yang bukan dari model berprestasi tinggi, ambil Volkswagen Golf sebagai contoh. Di Eropah ia merupakan kenderaan yang memberikan aspirasi untuk kebanyakkan orang,” kata Mann.

Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

Mann juga menyatakan kemunculan model berprestasi tinggi baharu ini bakal muncul dalam tempoh antara tiga ke enam tahun. “Boleh saya nyatakan [model berprestasi tinggi baharu] ini merupakan projek jangka panjang dan bukan jangka sederhana,” kata Mann dan menjelaskan jangka sederhana sebagai tiga tahun dan jangka masa panjang adalah enam tahun.

Walau bagaimanapun, boss Mitsubishi berkenaan masih lagi belum membuat keputusan adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke arena sukan permotoran dengan kapasiti penuh setelah jenama berkenaan menarik diri dari WRC pada tahun 2006, manakala sayap perlumbaannya iaitu Ralliart ‘tutup kedai’ pada tahun 2010.

“Sukan permotoran merupakan sesuatu yang banyak kami perkatakan akhir-akhir ini, dan ia sesuatu yang perlu kami pertimbangkan kerana ia adalah warisan kami,” jelas Mann dan menambah, “Ia selari dengan jenama kami dan ia sesuatu yang kami ada teknologinya serta jurutera kami tahu apa yang hendak dibuat. Ia merupakan sesuatu yang perlu kami pertimbangkan semula.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required