2018 YZ450F

Untuk musim perlumbaan motocross akan datang, Yamaha bakal memperkenalkan jentera perlumbaan Yamaha YZ450F MX-GP 2018. Model baharu berkenaan bakal menampilkan ciri khas terkini di mana talaan enjinnya boleh dibuat menerusi aplikasi di dalam telefon pintar.

Aplikasi tersebut digelar Yamaha Power Tuner dan ia disediakan untuk pengguna Android dan juga iOS. Ia membolehkan penunggang mahupun mekanik YZ450F membuat talaan semula dengan pantas dan mudah terhadap pemetaan bahan api dan juga pencucuhan bagi disesuaikan dengan gaya tunggangan, kondisi litar dan juga perubahan cuaca.

Tiada sebarang kabel diperlukan untuk menghubungkan telefon pintar dan juga kotak komputer enjin, di mana ia menggunakan komunikasi menerusi Wi-Fi onboard pada motosikal berkenaan. Selain itu, aplikasi berkenaan juga mampu untuk merekod lokasi dan kondisi tunggangan, tetapan motosikal dan juga informasi-informasi lain yang berkaitan.

Maklumat-maklumat yang dipantau secara onboard seperti tetapan perlumbaan, penyelenggaraan dan diagnostik sistem, tempoh operasi enjin dan lain-lain turut dapat diakses menerusi aplikasi berkenaan.

Maklumat-maklumat pada apilkasi ini bukan sahaja dapat digunakan untuk membuat talaan semula terhadap enjin, malah ia turut boleh disalurkan kepada rakan sepasukan, mekanik dan juga rakan-rakan, membolehkan kerja berpasukan dilakukan secara lebih mudah.

Selain dari sistem elektronik baharu ini, YZF450F 2018 turut menerima tingkat taraf pada kepala silinder enjin, omboh, profil aci sesondol, geometri silinder dan sebagainya – semua ini dihasilkan bagi mengekstrak lebih kuasa serta membolehkan kawalan dilakukan dengan lebih baik.

Kerangka rasuk dua hala alumimium baharu telah mengoptimakan kekuatan cagak enjin bagi memperbaiki keseimbangan motosikal ini, dan ia juga didakwa memberikan perasaan yang lebih baik ketika mengambil selekoh serta meningkatkan tahap ketegaran secara keseluruhan.

Silinder enjin YZ450F yang direka condong ke belakang menampilkan ekzos yang menghadap kebelakang serta sistem kemasukan udara downdraf yang diletakkan pada bahagian hadapan. Profil aci sesondol dan aci engkol baharu, omboh mampatan-tinggi “box bridge” dengan pin salutan DLC (Diamond-like-Carbon) serta throttle body Mikuni berdiameter 44 mm juga merupakan ciri baharu untuk model 2018 ini.

Jentera perlumbaan ini menerima motor penghidup elektrik yang dijana oleh bateri Li-ion ringan bagi membolehkan penunggang menghidupkan semula enjin ketika berlumba – mudah dan jimat masa tanpa perlu menolak bagi meneruskan perlumbaan. Ia juga diberikan sistem Launch Control (LCS) yang membolehkan ia berlepas lebih pantas dan lancar.

YZ450F

Sistem penyejukkan YZ450F juga lebih baik menerusi pemadanan unit radiator lebih besar dan diletakkan lebih terus kepada aliran angin. Paip ekzos motosikal ini juga direka lebih kehadapan berbanding model generasi sebelum ini, memberikan kelebihan untuk menjana lebih kuasa.

Yamaha YZ450F 2018 dijangka akan mula boleh ditempah menerusi pengedar Yamaha seluruh dunia bermula Ogos ini. Barisan aksesori untuk YZ450F serta jentera motocross siri-YZ lain yang dibangunkan oleh Genuine Yamaha Technology Racing (GYTR) turut bakal ditawarkan pada masa yang sama.