Kehadiran Honda Civic Type R 2017 kini bukan lagi rahsia. Ia sudah pun diperkenalkan secara rasmi di pasaran global. Memang, ia sarat dengan kuasa dan dikhabarkan mampu memberikan prestasi yang mengkagumkan. Kelibatnya juga sudah dilihat ketika ujian di litar lagenda utama dunia, seperti di Nurbugring, Jerman.

Namun, jika anda perhatikan dengan teliti di bahagian belakang, anda akan perasan bahawa kereta ini dilengkapi dengan tiga corong ekzos. Dua daripadanya, yang berada dihujung datang dengan diameter yang sama, sementara yang satu lagi di tengah diameternya kecil sedikit. Kenapa sampai ada tiga corong ekzos?

Mungkin ada yang merasakan itu hanya untuk gaya dan nampak garang. Tetapi, kenyataannya bukanlah begitu – ia ada fungsi tersendiri dan bukan sekadar ada untuk nampak cantik. Road & Track mendapatkan kepastian daripada wakil Honda sendiri berkaitan hal ini, dan tujuannya adalah untuk mengurangkan kebisingan.

“Biasanya, dengan sistem ekzos yang besar seperti ini, ketika anda memandu pada kelajuan lebuhraya, akan kedengaran banyak bunyi bising yang tidak menyenangkan. Ya, Honda ingin memberikan bunyian enjin dan ekzos yang agresif kepada pemanduan, tetapi tidak ketika mereka hanya ingin santai memandu terutama di lebuhraya,” jelas Rob Keough, perancang produk kanan Civic generasi ke-10.

2017 Honda Civic Type R

Sebagai penyelesaiannya, ekzos tunggal dipecahkan kepada tiga corong berasingan di bahagian belakang gandar belakang. Dua corong paling luar adalah termasuk muffler lurus yang besar. Manakala corong yang lebih kecil ditengah pula bertindak sebagai resonator, direka dengan bentuk dan saiz untuk memainkan satu peranan khusus.

Pada kelajuan rendah, dan ketika pemandu menekan pendikit untuk mula bergerak dari kedudukan pegun, aliran pada ekzos akan terarah ke bahagian resonator di tengah. Ini menghasilkan bunyi yang lebih nyaring, kuat dan agresif, yang boleh didengar di luar kereta serta dari dalam kabin.

Ketika kelajuan bertambah dan kereta meluncur dengan lebih tenang, aliran ekzos di tengah tadi akan mencapai frekuensi resonan. Resonator berkenaan akan dipenuhi udara, dan menghalang aliran – ini akan menyebabkan tekanan ke belakang dan dialihkan kepada dua muffler yang lebih besar di sisinya, sekali gus mengurangkan tahap kebisingan yang boleh didengar dari dalam kabin pada kelajuan meluncur (cruising) lebuhraya.

Inilah sebabnya penggunaan tiga corong ekzos berkenaan. Jangan khuatir, Honda Civic Type R 2017 ini tetap akan menghasilkan bunyi yang garang dan sporty seperti yang diinginkan, cuma dalam keadaan cruising bunyinya akan dikurangkan untuk lebih keselesaan kepada pemandu dan penumpang.