Pada hujung minggu lalu, seekor anak gajah ditemui mati akibat dilanggar oleh kenderaan di Lebuhraya Gerik-Jeli, 130 kilometer dari Ipoh. Ini bukan kejadian pertama yang melibatkan haiwan liar mati dilanggar kenderaan. Pada tahun lalu, seekor harimau belang dewasa mati selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM321.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Justeru, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menasihati pengguna jalan raya agar memberi perhatian terhadap papan tanda ‘Kawasan Lintasan Hidupan Liar’ semasa memandu, laporan Bernama.

Menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim, ini bagi mengelak kehilangan nyawa manusia dan juga hidupan liar yang boleh menyumbang kepada kepupusan haiwan itu.

“Orang awam juga diingatkan agar jangan sesekali cuba mengambil mana-mana bahagian hidupan liar yang dijumpai telah mati kerana tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian hidupan liar mati dilanggar diminta menghubungi talian hotline Perhilitan di 1-800-88-5151.