Selepas dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Jumaat lalu, minat orang ramai terhadap Geely Boyue yang disahkan akan menjadi model pertama akan diperkenalkan hasil kerjasama Proton-Geely. Pelbagai perkara yang bermain dalam fikiran orang ramai, begitu juga banyak pertanyaan yang belum terjawab berkaitan hal itu.

Antara soalan yang paling kerap ditanyakan ialah berapa harga model itu nanti akan dijual, serta bila ia akan menjengah pasaran tempatan. Dalam sidang media Proton-Geely minggu lalu, belum ada kata putus yang diberikan. Jawapan yang diberi ialah “semua itu masih dalam peringkat perbincangan dan perlu diperhalusi lagi”.

Bagaimanapun, Menteri MITI Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan di dalam satu laporan oleh China Press menyatakan, SUV Proton daripada model Boyue itu akan dijual di bawah harga RM100,000, dan dijangka akan masuk pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.

Dalam laporan yang sama, Ong menyatakan kerajaan Malaysia akan menjadikan struktur cukai yang lebih terbuka (liberalise) untuk menggalakkan pelaburan luar masuk ke dalam negara. Ia juga sebagai menepati perjanjian WTO dan ASEAN Free Trade Area (AFTA) yang antaranya bertujuan untuk menurunkan kadar duti eksais terhadap kenderaan.

Geely Boyue di China dijual pada harga 110,000 yuan (RM69,537), dan kemungkinan harga itu akan meningkat sekitar 10-20% daripada jumlah itu untuk pasaran Malaysia nanti – antaranya disebabkan GST dan cukai lain yang ada kini. Bagaimanapun, masih belum disahkan sama ada model itu nanti akan dibawa masuk terus dari China (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD).

Ketika sidang media khas minggu lalu, Proton menyatakan akan memperkenalkan model SUV berkenaan secepat mungkin, namun perincian tentang sama ada untuk memasarkan unit CBU dengan sebahagian peratusan penggunaan komponen tempatan turut akan dipertimbangkan.

Di China, Boyue ditawarkan dengan dua pilihan enjin, 2.4 liter empat-silinder (162 hp/210 Nm) dan 1.8 liter turbo (163 hp/250 Nm). Pilihan kotak gear pula ialah manual enam-kelajuan atau automatik klac berkembar, bergantung kepada pilihan enjin.

SUV lima-tempat duduk ini berukuran 4.5 meter panjang (Honda CR-V 4,584 mm), dan direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury yang kini mengetuai studio rekaan Geely. Apa pandangan anda sekiranya harga SUV Proton itu nanti benar-benar di bawah RM100,000? Adakah ia berbaloi?