BMW telah memperkenalkan buat pertama kalinya secara rasmi model i8 dengan bumbung boleh buka dalam sebuah video teaser pendek, seterusnya memberitahu bahawa ia tidak akan dikenali sebagai Spyder, tetapi i8 Roadster.

Video ini tidak menunjukkan begitu banyak tentang ahli ketiga dalam keluarga model i BMW ini memandangkan ia masih menggunakan pelekat camouflage seperti waktu ia ditemui menjalani ujian jalanan dan musim sejuk awal tahun ini. BMW turut menyatakan bahawa kereta ini sedang menjalani ujian akhir dan akan tiba di pasaran pada tahun 2018.

BMW i8 Roadster dijangka menggunakan sistem eDrive seperti i8 Coupe, tetapi mempunyai versi yang dinaik taraf, disebabkan model bumbung tegar tersebut sudahpun hampir tiba waktu untuk diperbaharui, berkemungkinan hujung tahun ini.

Laporan sebelum ini menyatakan, selain perubahan casis, kedua-dua motor elektrik i8, dan enjin tiga silinder turbo 1.5 liter padanya akan diberi naik taraf teknikal dan menawarkan kuasa yang lebih. Turut boleh dijangka adalah perisian baru untuk transmisi automatik enam kelajuan dan pek baterinya.

Video ini turut mendedahkan beberapa nombor penting lain – enjin pada i8 Roadster ini boleh menghasilkan penggunaan bahan api bercampur 2.0 liter bagi setiap 100 km, serta penggunaan tenaga bateri 15.4 kWh bagi setiap 100 km.

GALERI: BMW i8 Roadster sewaktu menjalani ujian