Ramai pengguna menyuarakan kebimbangan dengan pelaksanaan liberalisasi tarif insurans kenderaan yang berkuatkuasa sejak 1 Julai lalu. Ini kerana mereka berpendapat ia akan menaikkan kadar insurans membuatkan peruntukan yang lebih untuk memperbaharui insurans kenderaan masing-masing.

Walau bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kaedah baharu ini sebenarnya lebih menguntungkan pengguna kerana caj atau bayaran premium berdasarkan profil risiko individu, laporan Bernama.

Katanya, berbanding kaedah sebelum ini yang menyaksikan harga insurans kenderaan ditentukan berdasarkan Tariff Motor, kini harga produk insurans motor ditentukan berasaskan penilaian risiko individu.

“Kaedah baharu juga menyaksikan pihak insurans boleh mengenakan caj premium kepada kenderaan yang berisiko untuk terlibat dengan kemalangan,” katanya kepada pemberita.

Selain itu, katanya lagi, hasil liberalisasi itu kerajaan tidak lagi mengawal caj premium insuran seperti sebelum ini.

“Kaedah ini telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan syarikat insuran, dan pengumuman ini seharusnya diterima baik oleh pengguna kerana ianya memberi keuntungan,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, BNM telah mengeluarkan kenyataan rasmi, di mana fasa pertama liberalisasi telah diperkenalkan pada 1 Julai 2016 dan mulai 1 Julai tahun ini caj premium insurans akan ditentukan oleh faktor risiko. Di mana kadar premium yang akan dikenakan adalah bergantung kepada profil risiko pengguna itu sendiri, sebagai tambahan kepada kaedah sedia ada yang mengambil kira usia, model serta kapasiti enjin kenderaan.

Selain itu, ciri-ciri keselamatan yang ada pada kenderaan, tempoh sesebuah kenderaan itu berada di atas jalan bagi sesetengan kawasan (misalnya, kawasan dengan kadar kecurian yang tinggi) dan juga rekod kesalahan trafik oleh pemilik akan diambil kira.