Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan laporan prestasi mereka untuk separuh pertama 2017, yang menunjukkan mereka masih kekal sebagai peneraju pasaran segmen mewah tempatan. Untuk tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, jenama berkenaan berjaya menjual sebanyak 5,913 kenderaan dan sejumlah 61,850 kenderaan telah di servis jaringan khidmat servis selepas jualannya.

Walau bagaimanapun jumlah jualan yang ditunjukkan tahun ini sebenarnya sedikit menurun kerana dalam tempoh yang sama tahun lalu MBM berjaya menjual sebanyak 6,017 kenderaan. Namun syarikat berkenaan menjangkakan mereka masih di landasan yang betul untuk mencatatkan satu lagi tahun yang cemerlang bagi 2017 ini.

Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan prestasinya pada bulan Jun lalu yang dicatatkan sebagai bulan terbaik pernah direkodkan, dibantu oleh jualan E-Class W213 pemasangan tempatan (CKD) yang dilihat begitu memberangsangkan.

Prestasi jualan MBM bagi separuh pertama tahun ini diterajui oleh model-model salon pemasangan tempatan iaitu Mercedes-Benz C-, E-, dan S-Class, yang dijual sebanyak 3,663 unit sepanjang tempoh berkenaan. Antara model-model tersebut, C-Class W205 dilihat sebagai model paling berpotensi, dijual dalam jumlah 2,075 unit. Ia diikuti oleh E-CLass dengan 1,358 unit, manakala S-Class W222 pula dijual sebanyak 230 unit.

SUV keluaran Mercedes-Benz dijual sebanyak 1,233 unit dari jumlah keseluruhan jualan kenderaan mereka, manakala kereta-kereta dalam segmen kompak pula dijual sebanyak 739 unit. Bagi barisan model eksotik Mercedes-Benz Dream Cars pula, sebanyak 268 unit berjaya dijual dalam separuh pertama tahun ini.

Bermula awal hingga separuh tahun ini juga, MBM telah melancarkan lima lagi jaringan pengedarnya, menjadikan angka keseluruhan 31 buah di seluruh negara buat masa sekarang. Premis-premis baharu berkenaan adalah Hap Seng Kuching Autohaus, Cycle & Carriage Bintang Cheras Autohaus, Hap Seng Bukit Tinggi Autohaus serta Mofaz Kota Bahru Autohaus dan Kuala Terengganu Autohaus.

Selain dari mengumumkan prestasi jualannya, MBM turut memperkenal kaedah terbaharu bagi membolehkan mereka berhubung dengan pelanggan dan menawarkan pengalaman yang lebih bersifat peribadi. Kaedah berkenaan termasuk memperkenalkan OneWeb oleh Mercedes-Benz, yang menyediakan platform laman sesawang berpusat bagi memenuhi semua keperluan pelanggan baharu dan sedia ada.

Laman berkenaan boleh digunakan seawal peringkat pelanggan mahu membuat tempahan temu janji untuk memandu uji model-model keluaran Mercedes-Benz. Tempahan berkenaan boleh dilakukan secara dalam talian, membolehkan model-model yang mahu dipandu uji disediakan pada masa yang telah ditetapkan oleh pelanggan.

Setelah pelanggan menerima kenderaan mereka, laman ini masih lagi boleh digunakan bagi memudahkan mereka berurusan dengan pusat servis selepas jualan pula. Sama juga seperti sebelum ini, pelanggan boleh menetapkan temu janji mereka untuk menservis kenderaan di pusat-pusat servis bertauliah MBM dengan mudah secara atas talian.

MBM turut memperkenalkan Mercedes-Benz Gallery, yang dapat memberikan peluang kepada bakal-bakal pelanggan mereka bagi meneroka sendiri jenama berkenaan dengan bebas menerusi pengalaman realiti maya mudah alih serta maklumat-maklumat secara interaktif digital.

Selain itu, MBM turut memperkenalkan SalesTouch, iaitu peranti jualan mudah alih yang membolehkan pakar produk dan konsultan jualan memberikan pelanggan dengan informasi masa sebenar. Antara perkara yang dapat dilakukan oleh peranti berkenaan adalah memberikan gambaran maya kepada pelanggan bagaimana rupa sebenar kenderaan Mercedes-Benz dengan pilihan warna, kemasan serta perincian lain yang telah dipilih.