Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

Adakah ini model terakhir yang Honda Malaysia lancarkan buat tahun ini? Antara ya atau mungkin juga tidak! Selepas Jazz 2017 dilancarkan pada Jun lalu, kini tiba pula giliran CR-V generasi kelima yang dinanti-nantikan oleh penggemar SUV.

Jika sebelum ini, varian enjin bagi CR-V hanya 2.0 liter dan 2.4 liter, namun seperti mana yang diketahui ramai, kali ini Honda Malaysia turut membawa varian 1.5 liter VTEC Turbo serta hanya mengekalkan unit 2.0 liter natural-aspirated.

Menariknya, bagi pasaran Malaysia, CR-V 2017 ini menawarkan tiga varian turbo dengan model spesifikasi tertinggi 1.5TC-P 2WD yang dilengkapi teknologi terkini Honda Sensing Lanewatch. Walau bagaimana pun, dua lagi varian iaitu spesifikasi pertengahan 1.5TC 4WD dan model asas 1.5TC 2WD tidak dilengkapi kedua-dua teknologi berkenaan.

Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

Manakala varian paling asas dalam barisan CR-V 2017 ialah 2.0 i-VTEC 2WD. Ketika ditanya kepada Honda Malaysia, mengapa varian 1.5L Turbo 2WD ‘diangkat’ sebagai model spesifikasi tertinggi dalam barisan CR-V kali ini dan bukannya 1.5L Turbo AWD, Akkbar Daniel selaku Timbalan Presiden syarikat berkenaan menjawab, pihaknya menyasarkan pembeli lebih banyak membuat pilihan bagi varian 2WD kerana SUV ini dilihat lebih sesuai untuk kegunaan urban, walau pun boleh digunakan untuk pemanduan lasak (terutamanya yang dilengkapi sistem AWD).

Malah untuk barisan CR-V 2017 di Malaysia hanya ditawarkan dengan versi lima-tempat duduk, dan bukannya tujuh-tempat duduk seperti mana yang ada pada pasaran Indonesia dan Thailand. Menurut Honda Malaysia, berdasarkan kajian yang dilakukan di kalangan pelanggan mereka, memang kini trend menukar kenderaan dari sedan ke SUV mula menular, namun rata-ratanya lebih memilih kapasiti lima-tempat duduk kerana mahukan ruang yang lebih luas dan selesa, bukannnya tempat duduk ekstra yang diutamakan.

Walau bagaimana pun, Honda Malaysia tidak menolak sebarang kemungkinan akan membawa masuk CR-V versi tujuh-tempat duduk ke pasaran tempatan, cuma belum dapat ditentukan bilakah masanya.

Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

Varian turbo dijanakan oleh enjin 1.5 liter suntikan terus pengecas turbo dengan lonjakan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Ia sama dengan enjin yang dipadankan pada Civic varian turbo namun lonjakan kuasa bagi CR-V dipertingkatkan sebanyak 20 PS/23 Nm. Manakala model asas masih mengekalkan enjin NA 2.0 liter dengan hamburan kuasa 153 PS dan 189 Nm. Kedua-dua model dipadankan bersama transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri iaitu menggantikan unit automatik lima-kelajuan sebelum ini.

Bagi dimensinya, ada perubahan yang turut dilakukan bagi CR-V ini, di mana lebarnya ditambah sebanyak 35 mm berbanding model sebelum ini, kini 1,855 mm. Begitu juga dengan ketinggiannya, kini 1,689 mm (+4 mm) dan jarak roda pula 2,660 mm (+40 mm). Namun panjangnya telah dikurangkan sebanyak 6 mm berbanding model sebelumnya, kini 4,584 mm.

Dengan perubahan dimensi ini turut memberikan kelebihan pada ruang kaki yang kini 90 mm lebih luas. Manakala bahagian kargonya berkapasiti 522 liter dan mampu mencecah sehingga 1,084 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata, iaitu 250 mm lebih luas berbanding model terdahulu.

Manakala jarak kelegaan tanahnya kini mencecah 198 mm (2WD) dan 208 mm (4WD) berbanding model terdahulu yang hanya 170 mm.

Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

Sememangnya Honda telah membuat transformasi yang besar bagi CR-V generasi baharu ini. Bukan setakat bahagian mekanikalnya yang dipertingkatkan serta dimensinya yang berubah, namun imejnya juga lebih menawan dan meninggalkan terus imej ‘golongan senior’ seperti yang digambarkan pada generasi-generasi sebelum ini. Ternyata pembaharuan gaya dan imej pada CR-V generasi kelima ini lebih sporty dan mampu memikat penggemar SUV termasuk golongan muda untuk memilikinya.

Pada bahagian luarannya, ia dihiasi bar krom yang lebih besar pada gril atas bersama lampu utama projektor dinamik LED (1.5 TC-P menerima Advanced LED sepenuhnya). Malah teknologi LED turut menjadi pilihan bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek CR-V kali ini. Ia juga dilengkapi dengan pengesan untuk mengunci pintu dengan hanya sentuhan mudah.

Walau bagaimana pun, varian turbo dilengkapi dengan rim baharu 18-inci (17-inci bagi 2.0 N/A) serta dua corong tip ekzos krom seperti Civic Turbo (ekzos tunggal bagi 2.0 N/A). Bahagian belakang juga agak berbeza dengan model sebelum ini, di mana CR-V 2017 dipadankan dengan lampu belakang LED yang ddireka dengan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, yang turut bersambung kepada pintu tailgate (tailgate larasan kuasa untuk 1.5 TC-P, butang kawalan operasi bagi lain-lain varian).

Bagi varian turbo turut menerima ciri baharu termasuk Walk Away Auto Lock dan lapan alat pengesan untuk meningkatkan lagi keseronokan pemilikan SUV ini. Manakala hanya varian tertinggi 1.5TC-P sahaja menerima Honda LaneWatch Camera, Auto High Beam dan Active Cornering Light.

Pratikaliti pada model baharu ini juga dilihat dipertingkatkan di mana butang pembuka pintu tailgate direndahkan lagi bagi memudahkan ia dibuka, membawa sekali ruang nombor pendaftaran dan kamera undur ke posisi lebih rendah.

Menjengah bahagian dalamannya, perubahan besar turut ditampilkan termasuk panel papan pemukanya dibentangi material kulit sentuhan lembut berwarna hitam serta ada kekemasan kayuan (tona perak untuk varian 2.0L 2WD) di bahagian tersebut bersama konsol tengah. Elemen seperti panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan auto brake hold, pendingin hawa auto dwi-zon (dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang), kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara adalah standard bagi semua varian.

Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

Kesemua varian menerima tempat duduk separa kulit bersama lapan-talaan kuasa untuk pemandu dan empat-talaan bagi penumpang hadapan yang merupakan elemen terbaharu bagi CR-V kali ini. Paling menarik, kabin CR-V 2017 kini dilengkapi dengan konsol pelbagai-guna yang versatil dengan tiga mod pelarasan termasuk mampu memuatkan beg tangan sederhana besar atau komputer riba bersaiz 13-inci di dalamnya.

Bagi aspek keselamatan, semua varian CR-V 2017 dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA) dengan Agile Handling Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), ABS dengan EBD serta kamera undur pelbagai-sudut sebagai ciri standard.

Bagi varian tertinggi iaitu 1.5 TC-P yang dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

Barisan CR-V 2017 ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Modern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic, White Orchid Pear (dengan kos tambahan sebanyak RM400), Obsidian Blue Pearl dan warna baharu Dark Olive Metallic.

Untuk 1.5TC-P, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM167,700, RM161,600 bagi 1.5TC 4WD dan 1.5TC 2WD pula RM155,700. Bagi varian 2.0L 2WD pula berharga RM142,400. Kesemua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km (tertakluk pada terma & syarat) di mana-mana 91 pengedar Honda sah di seluruh negara.

Untuk spesifikasi dan perincian lanjut mengenai barisan CR-V 2017 ini, sila layari CarBase.my.

GALERI: Honda CR-V 1.5TC-P 2WD

GALERI: Honda CR-V 1.5TC 2WD

GALERI: Honda CR-V 2.0L 2WD bersama pakej aksesori Modulo

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required