Setakat ini, telah banyak juga maklumat dan perincian berkaitan Honda CR-V 2017 yang sudah kita ketahui. Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi di sini (jangka dilakukan dalam masa terdekat, mungkin selepas Hari Raya nanti), SUV paling popular keluaran Honda ini sudah pun dibuka untuk tempahan sejak 1 Jun lalu.

Semalam, wakil media tempatan berkesempatan mengikuti satu sesi pandu uji ringkas menjelang pelancaran model berkenaan. Dan, di dalam sesi ini, lebih banyak maklumat didedahkan secara rasmi, antaranya tentang perbezaan tingkat penawaran, perkara yang membezakan enjin 1.5L Turbo antara CR-V ini dan Civic serta yang paling utama, pengenalan ciri keselamatan Honda Sensing yang pertama kali ditawarkan oleh mana-mana model Honda di Malaysia.

Selain itu, kami turut berpeluang untuk memandu uji CR-V versi lama untuk mengetahui perbezaan – jika ada – bagi aspek pengendalian serta prestasi pemanduan yang ditawarkan di antara keduanya. Adakah terdapat banyak perbezaan yang ketara? Semua ini merupakan perkara yang akan dihuraikan sebaik mungkin di dalam artikel ini.

Seperti yang kita sedia maklum, selain daripada varian dengan enjin 2.0L, Honda CR-V 2017 turut akan diperkenalkan dengan pilihan enjin 1.5L Turbo VTEC bagi varian yang lebih tinggi. Ini bukan kali pertama enjin turbo berkenaan ditawarkan di sini; model Civic yang dijual sekarang turut menggunakan enjin sama.

Namun, menurut Honda, walaupun unit enjinnya sama, terdapat perubahan yang dilakukan terhadapnya untuk disesuaikan dengan kegunaan CR-V. Yang dimaksudkan ialah unit pengecas turbo yang digunakan adalah berbeza, dengan kadar desakan atau boost yang lebih tinggi.

Ia memboleh Honda CR-V 2017 menghasilkan sebanyak 193 PS kuasa, dengan 243 Nm tork maksimum. Manakala angka janaan yang dihasilkan pada model Civic adalah sedikit lebih rendah, iaitu 173 PS dan 220 Nm bagi janaan maksimum yang mampu diberikan.

Dengan enjin berkenaan, prestasi Honda CR-V 2017 generasi kelima ini bahkan lebih baik berbanding prestasi model CR-V 2.4L yang ada sebelum ini. CR-V 2.4L generasi ke-empat menjana sebanyak 190 PS kuasa dan 222 Nm tork. Walaupun angka berkenaan tidak banyak beza, tetapi hanya dengan menggunakan enjin 1.5L bagi mendapatkan apa yang sebelumnya dicapai dengan enjin 2.4L itu sahaja sudah sangat bermakna sebenarnya, apa lagi ia diguna untuk “menarik” sebuah SUV lima-tempat duduk.

Adakah ini bermaksud prestasi pemanduan Honda CR-V 2017 dengan 1.5L Turbo VTEC lebih baik daripada model 2.4L yang sebelumnya. Ketika memandu kedua-duanya semalam, apa yang dapat disimpulkan ialah memang terdapat berbezaan dari segi penyampaian kuasa dan kendalian di antara keduanya.

Ada tiga perkara yang diuji; daya pecutan, keberkesanan membrek dan ketiga laluan slalom untuk merasakan ketangkasan kendalian stereng pada model ini. Dari pemerhatian ringkas yang sempat kami nilai, versi terbaru CR-V 2017 dengan enjin 1.5L Turbo ini memiliki banyak kelebihan.

Dari segi pecutan, ia tidak terasa terbeban ketika pedal ditekan habis dari keadaan pegun. Penyampaian kuasanya juga lebih lancar dan cepat. Breknya juga mencengkam dengan kadar dan kecepatan yang meyakinkan. Dalam keadaan brek kecemasan, hazard light turut akan menyala beberapa saat selepas kenderaan berhenti.

Kawalan stereng pada CR-V 2017 ini juga lebih ringan berbanding model sebelumnya. Disebabkan itu, ia lebih mudah dikawal, dengan input stereng yang terperinci serta tepat, hanya sedikit pergerakan dan dorongan pada tangan sudah memadai untuk mengemudi kereta ini, termasuk ketika melalui halangan laluan slalom.

Bukan sahaja faktor pemanduan yang menjadi lebih baik; varian tertinggi 1.5L Turbo Premium juga buat pertama kalinya akan dilengkapi dengan kelengkapan dan teknologi keselamatan termaju yang dikenali sebagai Honda Sensing. Dari aspek ini, Honda menjadi pelopor untuk memperkenalkan ciri-ciri seperti ini pada kenderaan penumpang yang lebih menyeluruh. Sebelum ini, ciri seperti ini hanya dilengkapi pada model-model premium sahaja, misalnya yang dikeluarkan oleh Mercedes-Benz dan Volvo.

Apa sebenarnya Honda Sensing ini? Sistem keselamatan ini terdiri daripada tiga bahagian utama; ciri bantuan pemanduan, penghindaran perlanggaran sisi serta penghindaran perlanggaran secara berdepan. Ini dikendalikan menggunakan dua peranti; kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang, serta milimeter wave radar pada bahagian depan, di bawah logo pada gril.

Bagi bantuan pemanduan, ia bertujuan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna. Ia terdiri daripada dua ciri lain, dikenali dengan nama Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low Speed Follow (LSF). Kedua-dua ciri ini sempat kami cuba sendiri. ACC berfungsi untuk mengekalkan jarak serta kelajuan selamat dengan kenderaan di depan, dalam julat kelajuan 30 km/j hingga 180 km/j.

Bagi LSF pula, sekiranya dalam keadaan lalu lintas sesak dengan pergerakan Start/Stop yang kerap, sistem ini membolehkan CR-V mengikut kenderaan di hadapan juga dengan jarak yang selamat. Sekiranya kereta di depan bergerak, CR-V ini juga akan bergerak. Dan, sekiranya kereta depan berhenti sepenuhnya selepas itu, CR-V turut akan mengikut secara automatik. Ini memberi ruang kepada pemandu untuk berehat sedikit dalam keadaan trafik sesak.

Bagi penghindaran perlanggaran sisi, ia terdiri daripada tiga sistem; Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist (LKAS). Semua ini pula berfungsi di atas faktor keselamatan. LDW akan memberi amaran sekiranya kenderaan anda didapati semakin menghampiri garisan jalan.

Sekiranya masih tiada input dari pemandu RDM akan diaktifkan – stereng akan digegarkan sedikit. Sekiranya masih tiada tindak balas dari pemandu, sistem akan mengawal stereng untuk mengembalikan kenderaan ketengah. Untuk memahami situasi ini, bayangkan pemandu sedang mengantuk atau mungkin tertidur ketika memandu.

Sistem ini bertujuan untuk menyelamatkan keadaan – di dalam julat kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. LKAS pula hadir sebagai ciri bantuan kepada pemandu. Apa yang dilakukan ialah mengekalkan kenderaan ditengah jalan di antara dua garisan putih.

Bagi penghindaran perlanggaran berdepan pula, dua sistem tersedia; Forward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking Sistem (CMBS). FCW akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya ia mengesan kenderaan berada dalam jarak tidak selamat dengan kereta hadapan.

Sementara CMBS pula akan membrek kenderaan anda sekiranya ia menjangkakan kemalangan akan berlaku. Walaupun sistem ini mampu untuk membrek sepenuhnya, ia sebetulnya direka untuk mengurangkan impak ketika kemalangan.

Honda bagaimanapun menegaskan, pakej keselamatan Honda Sensing ini disediakan hanya sebagai ciri bantuan kepada pemanduan, dan pemandu tidak seharusnya bergantung kepada sistem-sistem yang ada ini semata-mata. Pada setiap masa ketika di atas jalan raya, pemandu tetap bertanggungjawap sepenuhnya terhadap pemanduan dan keselamatan sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Honda CR-V 2017 1.5L Turbo 2WD

Honda CR-V 2017 1.5L Turbo Premium