Awal bulan ini, Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Honda CR-V generasi kelima telah pun dibuka. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, HM telah menjemput media permotoran tempatan untuk meninjau lebih dekat SUV generasi baharu berkenaan bersama model generasi keempat sedia ada. Mengambil kesempatan tersebut, kami sediakan anda galeri perbandingan antara kedua-dua generasi CR-V ini.

Model 2017 berwarna perak yang dipaparkan ini merupakan dari varian 1.5L Turbo Premium 2WD – dijangka model generasi baharu berkenaan bakal dilancarkan dalam lima varian. Manakala CR-V generasi keempat yang berwarna putih pula merupakan varian tertinggi dalam barisan model iaitu 2.4 i-VTEC 4WD.

Untuk pengetahuan anda, setiap generasi CR-V di bina menggunakan platform yang sama dengan Civic sezamannya. Oleh itu, jika dilihat dari hadapan, CR-V 2017 kelihatan lebih lebar dari model sebelum ini, terutamanya pada bahagian ruang roda. Model generasi baharu berkenaan juga diberikan lampu hadapan LED, bar krom lebih besar pada gril atas dan juga lampu kabus LED baharu.

Honda CR-V 2017 turut membawa pakej keselamatan Honda Sensing ke pasaran Malaysia buat pertama kali. Jadi dapat dilihat model generasi baharu berkenaan dilengkapi dengan kamera monokular yang diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan bagi mengoperasikan pakej sistem keselamatan berkenaan.

Kedua-dua SUV ini masih lagi menampilkan bayangan badan yang agak seiras jika dilihat dari bahagian sisi, namum model generasi baharu diberikan cermin sisi bahagian belakang yang lebih besar. CR-V 2017 juga diberikan rim aloi baharu berdiameter 18-inci, bersama kemasan jalur krom yang diletakkan pada panel pelindung sisi badan.

Namun, kedua-dua model ini direka dengan sangat berlainan pada bahagian belakang. Berbanding model lama yang diberikan lampu belakang menegak, model generasi baharu direka dengan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, yang turut bersambung kepada pintu tailgate.

Pratikaliti pada model baharu ini juga dilihat dipertingkatkan di mana butang pembuka pintu tailgate direndahkan lagi bagi memudahkan ia dibuka, membawa sekali ruang nombor pendaftaran dan kamera undur ke posisi lebih rendah. Seperti juga Civic FC turbo, CR-V turbo baharu ini juga diberikan dua corong tip ekzos.

Untuk model 1.5L generasi baharu, ia dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 193 PS/243 Nm (20 PS/23 Nm lebih berkuasa dari enjin yang sama pada Civic). Enjin tersebut digandingkan bersama transmisi automatik CVT Earth Dreams. Sebagai perbandingan, enjin NA 2.4 liter DOHC i-VTEC pada model lama hanya menghasilkan 190 PS dan tork maksima 222 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik konvensional lima-kelajuan.

Menurut Honda Malaysia, CR-V 2017 pasaran Malaysia masih lagi mengekalkan konfigurasi lima-tempat duduk sama seperti generasi sebelum ini (versi Indonesia menerima pilihan tujuh-tempat duduk) berikutan hasil tinjauan pada pasaran tempatan yang lebih suka ruang kargo yang besar berbanding dua tempat duduk tambahan. Walau bagaimanapun, HM masih lagi belum memberi kebenaran untuk menyiarkan bahagian dalaman SUV generasi baharu ini sehingga ia dilancarkan nanti. Jadi, teruskan bersama kami untuk perkembangan selanjutnya.

Honda CR-V 2017 1.5L 2WD Turbo Premium (generasi kelima)

Honda CR-V 2.4 4WD i-VTEC (generasi keempat)