Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah merekodkan sejumlah 100,000 pengguna selepas 27 jam beroperasi iaitu bermula jam 4 petang 17 Julai lalu. Melihat akan sambutan yang begitu menggalakkan ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah membuat kajian mengenai apa yang pengguna suka.

Menerusi kajian tersebut, rata-rata pengguna mahukan penambahan kekerapan perjalanan tren terutamanya di kawasan yang ada permintaan tinggi. Selain itu, pengguna juga mahukan WiFi di dalam tren, laporan Berita Harian

Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, tindakan ini antara maklum balas yang diterima daripada pengguna MRT-SBK Fasa 1 dan MRT-SBK Fasa 2, yang dibuka kepada orang ramai bermula kelmarin.

“Kita akan lihat sambutan yang ada. Insya-Allah kita akan sediakan,” katanya.

MRT-SBK dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu, mempunyai 19 stesen baharu dengan kekerapan perjalanan setiap tujuh minit. Di mana tujuh daripada stesen jajaran sepanjang 51 kilometer itu terletak di bawah tanah.

Setiap tren bagi laluan SBK mempunyai empat gerabak dan mampu membawa 1,200 penumpang pada setiap perjalanan, dengan anggaran 400,000 penumpang sehari.