Litar komprehensif Honda Prachinburi Proving Ground dibuka secara rasmi – hab ujian lengkap serantau

Litar komprehensif Honda Prachinburi Proving Ground dibuka secara rasmi – hab ujian lengkap serantau

Unit penyelidikan dan pembangunan Honda untuk rantau ini – Honda R&D Asia Pasific – telah membuka litar ujian komprehensifnya di Prachinburi, Thailand. Pusat yang digelar Prachinburi Proving Ground berkenaan dibina pada tapak seluas 800,000 meter persegi dan melibatkan pelaburan sebanyak 1.7 bilion baht. Ia merupakan litar ketiga seumpannya milik Honda selepas Jepun dan Amerika Syarikat.

Litar ujian baharu ini bukan sahaja akan digunakan untuk produk-produk automobil dan motosikal Honda semasa dalam peringkat R&D, malah ia juga turut mempunyai padang rumput bagi menguji produk-produk mesin rumput Honda. Lapan litar berbeza dibina dalam kawasan ujian berkenaan yang memberikan simulasi pemanduan sebenar diatas jalan raya dengan panjang keseluruhan diukur pada jarak sekitar lapan kilometer.

Litar utama pada fasiliti ini ialah litar bujur dengan jarak 2.18 km yang digunakan untuk menguji prestasi kenderaan serta perkara-perkara lain berkaitan pada kelajuan tinggi termasuk kadar bunyi di dalam kabin. Litar ini turut diberikan kawasan ujian dinamik kenderaan untuk digunakan menguji kestabilan pada kelajuan tinggi serta keberkesanan brek semasa selekoh tajam.

Litar dengan laluan jalan berliku turut diberikan pada jarak 1.38 km yang mempunyai 17 selekoh serta titik buta – dibina bagi menguji prestasi am termasuk keberkesanan brek serta kestabilan kenderaan. Honda turut membina litar basah di sini yang bukan sahaja dapat menguji kenderaan ketika situasi basah (pengawalan dan brek), malah tahap air dapat dinaikkan pada ketinggian 1,000 mm untuk membuat simulasi keadaan banjir yang sering melanda kebanyakkan kawasan di Asia.

Untuk menguji kesan kenderaan terhadap permukaan-permukaan jalan yang ‘unik’ di Asia, Honda turut membina litar Ride Road yang memberikan simulasi terhadap lapan permukaan jalan yang berbeza. Permukaan berkenaan termasuk lebuh raya konkrit (seperti yang terdapat pada sebahagian lebuhraya di Malaysia), aspal dengan permukaan yang sudah rosak dan juga jalan yang mempunyai halangan bersudut dan mempunyai kamber.

Selain itu, Honda turut membina litar permukaan istimewa – menghasilkan permukaan kasar menggunakan teknologi 3D yang turut mempunyai lapan keadaan berbeza termasuk garisan speed breaker dan jalan konkrit kasar. Litar ini digunakan bagi menguji bahagian bawah badan kenderaan.

Dua litar terakhir adalah litar jalan bercerun untuk menguji kekuatan enjin dan prestasi brek, dan juga litar jalan lurus dengan jarak 1.2 km bagi menguji penggunaan bahan api serta pecutan.

“Thailand telah menjadi pusat pengeluaran dan eksport kami di rantau Asia dan Oceania serta merupakan pengkalan penting untuk operasi R&D kami. Prachinburi Proving Ground akan memperkasakan barisan produk kami dengan menghasilkan model yang lebih kompetitif dan menarik mengatasi apa yang pelanggan di Thailand dan rantau ini jangkakan,” kata ketua pegawai operasi serantau (Asia dan Oceania) Honda Motor Co., Ltd., dan Presiden serta CEO Asian Honda Motor Co., Ltd., Encik Shinji Aoyama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required