ZF Sales and Service rai 15 tahun operasi di Malaysia

ZF Sales and Service rai 15 tahun operasi di Malaysia

ZF merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia penghasilan unit kotak gear. Jenama berkenaan menghasilkan pelbagai jenis transmisi bagi dibekalkan kepada pelbagai pengeluar terkemuka seperti Ford, Chevrolet, BMW, Porsche dan sebagainya. Namun tahukah anda ZF mempunyai operasinya sendiri di Malaysia serta memayungi pelbagai jenama alat ganti OEM pada pasaran tempatan?

ZF Sales and Service Malaysia (ZFSSM) mula bertapak di negara kita pada tahun 2005, dan meraikan ulangtahun ke-15 tahun ini. Sebelum itu jenama tersebut sebenarnya sudahpun memulakan operasi di Malaysia pada tahun 1999, dikenali sebagai ZF Service (M) Sdn. Bhd. Di Malaysia, ZFSSM bertindak sebagai pembekal transmisi untuk kenderaan berat seperti bas dan trak, serta membekalkan alat ganti di bawah jenama Sachs dan Boge (untuk suspensi) serta Lemforder dan TRW (untuk komponen lain seperti sistem stereng dan brek).

Untuk transmisi, ZFSSM membekalkan terus transmisi automatik enam-kelajuan berprestasi tinggi ZF Ecolife (menggantikan ZF Ecomat generasi sebelumnya) kepada Mass Rapid Transit (MRT) Corporation Sdn Bhd, bagi dipadankan pada bas-bas Scania K250, Man A69 dan juga Volvo B7RLE milik syarikat berkenaan yang kini dianggarkan berjumlah 900 unit, termasuk 300 unit untuk projek MRT fasa satu (Sungai Buloh ke Semantan) dan fasa dua (Semantan ke Kajang) .

Kotak gear ZF Ecolife ini dihasilkan dalam tujuh versi secara keseluruhan, dengan ketahanan kadar tork divariasikan dalam lingkungan 1,000 Nm hingga 2,300 Nm. Ia direka bagi memastikan kuasa dapat dialirkan dari enjin ke roda dengan efisien pada bas-bas yang mempunyai berat kasar sehingga 32 tan.

Operasi transmisi berkenaan diuruskan oleh perisian TopoDyn Life, yang akan melaras semula pemetaan tukaran gear bergantung kepada kondisi pemanduan. Teknologi adaptif berkenaan menghasilkan penggunaan bahan api yang lebih efisien dan juga penghasilan karbon lebih rendah. Kotak gear Ecolife ini juga diberikan fungsi retarder bina dalam, bagi memberikan kesan ‘engine braking’ untuk membantu memperlahankan kenderaan dan mengurangkan beban pada sistem brek utama.

Bukan sekadar membekalkan, ZF turut memberikan sokongan teknikal dan juga proses retrofit jika diperlukan. Fasiliti ZFSSM yang terletak di Kota Damansara ini juga turut berfungsi sebagai pusat servis selepas jualan yang menjalankan kerja-kerja merombak rawat transmisi lengkap dengan ujian simulasi bagi memastikan setiap unit transmisi berfungsi sepenuhnya sebelum dipadankan semula pada kenderaan.

Untuk masa hadapan, ZF kini sedang berkerjasama rapat dengan Sync R&D Sdn Bhd bagi menghasilkan bas berkuasa elektrik sepenuhnya sepanjang 12 meter menggunakan gandar ZF AVE 130 – menyokong dasar automotif negara yang mensasarkan untuk menjadi hab EEV di rantau ini. Gandar yang hadir dengan sistem suspensi dan brek berkenaan diberikan motor elektrik pada setiap hab roda, menggantikan sistem motor elektrik tunggal pada gandar generasi sebelum ini bagi menghasilkan bas yang boleh menampung penumpang lebih ramai serta mencapai kelajuan yang lebih tinggi.

ZF juga kini sedang berkerjasama dengan RapidKL untuk memperkenalkan sistem telemetiknya yang dikenali sebagai Openmatics. Sistem telematik berkenaan bukan sahaja dapat merekod operasi sistem dalam sesebuah kenderaan, malah ia juga mampu membekalkan maklumat diagnosis, kedudukan kenderaan, memantau tahap tumpuan pemandu dan juga dapat diselarikan dengan sistem tiket bas dan juga memberikan anggaran masa sampai ke satu-satu destinasi.

Sistem Openmatics ini juga boleh digunakan untuk operasi sistem logistik dengan penambahan modul tag elektronik yang turut boleh memantau keadaan barang yang dibawa termasuk suhu dan juga pengesan cahaya yang dapat mengesan sekiranya kotak penghantaran tersebut dibuka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Pusat bandar moden kini memerlukan kenderaan komersial yang boleh diharap, selamat dan paling penting berkesan dari segi kos dan juga produktif. Urbanisasi yang mampan akan menjadi cabaran di mana industri automotif memerlukan kenderaan yang mempunyai kos operasi rendah tetapi dengan penggunaan yang kerap tanpa mengorbankan keselamatan serta kelajuan.

“ZFSSM berhasrat untuk mengubah jaringan pengangkutan di Malaysia dengan memberikan kepakaran kami terhadap pengangkutan urban yang telah dimodenkan berasaskan produk dan teknologi inovatif dari ZF Group,” kata pengurus besar untuk khidmat unit perniagaan ZFSSM, Encik Siew Chee Kok pada acara sambutan ulangtahun ke-15 syarikat berkenaan yang diadakan pagi tadi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required