Pusat pameran Moto Guzzi di The Gasket Alley, Petaling Jaya hari ini menerima ketibaan sebuah lagi model baru iaitu V9 Bobber 2017 dan ia dijual pada harga RM74,900 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Motosikal yang diimport dari Itali ini menyertai model V9 Roamer, yang dijual pada harga RM73,900.

V9 Bobber menggunakan enjin dua silinder V 853 cc rekaan baru, yang mampu menghasilkan 55 hp pada 6,250 rpm dan 62 Nm tork pada 3,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem syaf. Rimnya bersaiz 16 inci, dibalut dengan tayar Continental Milestone.

Tugas membrek pada V9 Bobber dijalankan oleh Brembo, dengan cakera tunggal di depan dan belakang. Sistem ABS diberi secara standard, bersama Moto Guzzi Traction Control (MGTC). Sistem kawalan cengkaman dua mod ini beroperasi dengan mengawawal kemajuan pencucuh, menahan tork enjin apabila gelinciran dikesan dan boleh ditutup sekiranya mahu.

Berat V9 Bobber dicatat pada 199 kg, sama seperti V9 Roamer, dan bahan api boleh dibawa sebanyak 15 liter di dalam tangkinya yang mempunyai lencana burung helang jenama itu. Kadar kelajuan ditunjukkan melalui meter jenis analog sementara informasi lain seperti kitaran rpm, kedudukan gear, odometer dan lampu tahap merah rpm dipaparkan melalui skrin LCD.

Bagi V9 Bobber, ia boleh dinaiki oleh dua orang, dan tempat duduk belakang boleh ditanggalkan dengan mudah menggunakan spanar kerana ia terasing. Tinggi tempat duduk ini – dalam tetapan tunggal – adalah 785 mm, dan pedal kaki yang lebih ke hadapan ada disediakan sebagai pilihan tambahan.

Aksesori pilihan lain yang disediakan untuk motosikal Moto Guzzi siri V9 ini adalah termasuk Moto Guzzi Multimedia Platform (MGMP), yang boleh menyambungkan motosikal dengan aplikasi telefon pintar, seterusnya mengetahui informasi berkenaan motosikal. Terdapat dua warna yang ditawarkan untuk V9 Bobber iaitu Nero Massiccio (kuning) dan Grigio Sport (kelabu).