Bollinger Motors B1 – trak utiliti sport elektrik pertama

Bollinger Motors B1 – trak utiliti sport elektrik pertama

Berasal daripada bengkel membaiki kenderaan di New York, Amerika Syarikat, Bollinger Motors yang sudah wujud sejak tahun 2014 kini mengeluarkan gambar trak B1 yang mereka dakwa sebagai trak utiliti sport elektrik pertama di dunia. Ia sudah dibuka untuk tempahan oleh orang awam dan dijangka dapat dihantar kepada pelanggan awal tahun 2018. Walaupun begitu, harganya sekadar diberitahu sebagai “sama tahap seperti sebuah SUV dengan kelengkapan yang menarik.”

Trak ini menggunakan bentuk petak seperti kenderaan lasak klasik, namun di sebaliknya terdapat casis maju yang dibuat daripada aluminium berkekuatan tinggi supaya dapat tahan lasak, tetapi masih ringan. Jarak di antara roda depan dan belakangnya adalah 2,667 mm, panjang 3,810 mm, lebar 1,943 mm dan tinggi 1,866 mm. Berat keseluruhannya adalah 1,769 kg.

Memacu trak ini adalah tetapan dua motor elektrik (satu di setiap gandar) yang mampu menghasilkan sehingga 270 kW (360 hp) dan 640 Nm tork. Pembeli juga diberikan pilihan sama ada mahu mendapatkan bateri 60kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan 193 km ataupun bateri 100 kWh dengan jarak pergerakan 321 km.

Bollinger Motors B1 – trak utiliti sport elektrik pertama

Bagi menjadikan ia sebagai sebuah trak offroad sebenar, B1 mempunyai sistem pacuan empat roda sepanjang masa, manakala suspensi hydro-pneumatic tyang digunakan pula menyediakan jarak pergerakan 10 inci. Rim adalah jenis aluminium offset lebar dan dibalut tayar Mud Terrain LT285/70/R17.

Bahagian dalam B1 adalah ringkas, dan menyediakan lima tempat duduk. Jika mahukan ruang lebih untuk mengangkut sesuatu, tempat duduk belakang boleh dilipat ke atas dan lantainya rata. Panel instrumen pula menggunakan banyak tolok berbentuk bulat, tetapi lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kadar bateri, tahap kelajuan, lampu amaran dan pelbagai lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required