Malam tadi Polis Trafik Kuala Lumpur telah mengadakan Ops Tutup di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail. Dalam operasi bermula 9.30 malam itu, polis menghalang beberapa jalan utama menyebabkan kumpulan bermotosikal berkenaan seperti terkepung dan tiada jalan keluar.

Menurut Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain, menerusi operasi itu, 391 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, laporan Bernama.

“Daripada jumlah itu, cukai jalan telah tamat tempoh dikesan menjadi kesalahan tertinggi dengan 66 saman dikeluarkan diikuti kesalahan tiada lesen memandu dengan 58 saman. Kesalahan lain yang dikenakan saman adalah lesen tamat tempoh (42 saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan ‘fancy’ (tidak jelas) (76 saman), tiada nombor pendaftaran (55 saman), tiada cermin sisi (26 saman), tidak menampal pelekat ‘P’ (44 saman) dan tidak menampal pelekat ‘L’ (24 saman),” ujarnya.

Tambahnya lagi, operasi yang disertai 64 pegawai dan anggota itu turut menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam satu kes curi motosikal yang dilaporkan di Sentul.