Bagi memberikan peluang kepada para pengguna menyampaikan maklum balas mengenai perkhidmatan LRT, MRT dna Monorel, Rapid telah mewujudkan nombor talian khas iaitu 0107664472, bagi tujuan tersebut. Selain daripada itu, pengguna juga boleh memaklumkan kepada pihak Rapid mengenai salah laku atau musnah laku yang dialami semasa menggunakan pengangkutan berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman, talian khas berkenaan adalah dikendalikan oleh Pusat Hubungan Rapid KL. Di mana pengguna boleh mengambil gambar dan berkongsi maklum balas dengan menghantar mesej WhatsApp kepada nombor tersebut.

“Maklum balas ini sama ada baik atau tidak baik akan dikongsi pula dengan pihak berkaitan untuk tindalan lanjut. Ini merupakan satu kempen baharu Rapid,” katanya dalam satu kenyataan yang turut disiarkan menerusi laman rasmi Facebook mereka.

Zohari berkata ia dilakukan susulan sungutan orang ramai mengenai vandalisme dan salah laku sesetengah pengguna ke atas aset MRT laluan Sungai Buloh-Kajang yang perkhidmatannya baru dilancarkan pada 17 Julai lalu.

“Walau pun kami memiliki ratusan anggota keselamatan yang bertugas dan ribuan kamera litar tertutup (CCTV), namun kami masih memerlukan kerjasama orang awam,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun berkata kempen tersebut akan turut dipanjangkan untuk perkhidmatan bas Rapid KL sekiranya saluran maklum balas baharu itu mendapat sambutan orang ramai.

Beliau juga berkata maklum balas segera mengenai status perkhidmatan rel dan bas Rapid KL boleh diperoleh melalui Twitter @AskRapidKL atau mesej di Facebook MyRapid.