TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

Masih saya ingat semasa pertama kali menguji Street Triple 675 beberapa tahun dulu, saya cukup kagum dengan betapa berbezanya ia berbanding motosikal yang pernah saya uji sebelum ini. Bukan pada satu aspek, tetapi secara keseluruhan.

Tarikannya cukup kuat sehingga membuatkan saya pergi sendiri ke pusat pameran Triumph tidak lama selepas itu untuk ‘meminangnya’ terus. Malangnya, saya tidak berjaya menjadi seorang pemilik Triumph. Kenapa? Cukuplah saya memberitahu membeli motosikal ini seperti berkahwin dan saya masih belum bersedia. Motosikal itu sendiri tiada apa masalah.

Pada masa itu juga, agak sukar untuk mencari motosikal lain yang dapat menyaingi Street Triple secara keseluruhan. Bukan saya saja yang berkata sebegini, malah perbandingan yang dibuat oleh media-media antarabangsa juga mengatakan perkara yang sama.

Tahun ini, Triumph membuat kejutan apabila memperkenalkan model baru, Street Triple 765 yang didatangkan dalam beberapa versi. Seperti yang dilihat pada namanya, 765 itu adalah membawa makna kapasiti enjinnya, yang menggunakan asas daripada enjin 675 cc sebelum ini tetapi telah dibesarkan menjadi 765 cc.

Ini adalah kapasiti maksimum yang dapat dicapai sambil mengekalkan saiz asalnya, tetapi jika dibandingkan lagi dengan enjin 675 cc tersebut, enjin baru ini hanya berkongsi 10 peratus alat ganti yang sama.

TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

Sebaik model ini tiba di Malaysia, saya adalah antara yang terawal dipelawa oleh pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia iaitu Fast Bikes Sdn Bhd untuk mengujinya. Tetapi saya menolak kerana banyak urusan dan dalam hati kecil ada suara yang tidak mahu saya ‘diracun’ lagi. Lagipun, biarlah orang lain ‘pecahkan dara’ motosikal itu terlebih dahulu.

Akhirnya baru-baru ini saya mendapat peluang mengujinya. Perkara pertama yang terus saya rasa adalah ini – dulu saya mempunyai pendapat saiz motosikal ini kurang sesuai dengan badan saya yang tinggi, tetapi kini ia tidak lagi terasa. Bila melihat gambar yang diambil juga, saya merasakan perkara yang sama. Memandangkan jarak roda serta saiz motosikal ini sebenarnya masih sama, saya berpendapat itu mungkin sekadar satu mainan ilusi.

Seterusnya adalah bunyi bersiul yang dihasilkan oleh enjin tiga silinder ini. Dari dulu lagi saya cukup menggemarinya dan dianggap sebagai satu muzik pilihan yang tidak membosankan. Walaupun berhenti di lampu isyarat tanpa berbuat apa-apa, saya masih boleh terhibur mendengar bunyi enjin ini.

Peningkatan kapasiti enjin seperti yang diberitahu tadi, sudah pasti akhirnya membawa kepada peningkatan kuasa. Untuk kes ini, enjin 765 cc baru adalah 16 peratus lebih berkuasa dengan keseluruhannya berjumlah 120.7 hp pada 11,700 rpm dan 13 peratus lebih banyak tork iaitu 77 Nm pada 10,800 rpm. Street Triple RS 765 ini juga lebih ringan berbanding model sebelum ini, jadi, nisbah berat dan kuasanya juga lebih baik.

TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

Enjin ini sememangnya berkemampuan tinggi. Ia bagaikan berada di tahap pertengahan yang terbaik kerana tidak terlalu berkuasa untuk dikawal oleh penunggang seperti motosikal sports 1,000 cc, tapi dalam masa sama, boleh mengejutkan mereka kerana anda masih boleh mengikuti rentak apabila di dalam satu kumpulan.

Kemudiannya, ia juga cukup lancar, dari tahap rpm rendah sehinggalah tinggi ke garisan merah rpm. Rasa lancar yang dirasa tidak selancar enjin empat silinder, tetapi memberikan tambahan rasa mampatan kuasa setiap kali pendikit dipulas. Jika anda bergerak perlahan seperti di dalam trafik sesak juga ia mudah dikawal kerana enjin tidak akan tersengguk-sengguk walaupun berada di bawah tahap 2,000 rpm.

Model yang anda lihat diuji oleh saya ini adalah model RS, iaitu versi paling tinggi bagi Street Triple 765 ini. Perbezaannya akan saya beritahu sedikit demi sedikit di dalam artikel ini, tetapi bagi mod tunggangan, ia mempunyai lima pilihan iaitu Rain, Street, Sport, Track dan Rider hasil penggunaan sistem pendikit ride-by-wire yang baru. Setiap satunya akan mengubah tahap tindak balas pendikit dan kuasa, serta kadar campur tangan sistem ABS dan Traction Control.

Secara jujurnya, saya lebih gemar menggunakan tetapan Track kerana ia menghasilkan kuasa maksimum sambil pada waktu sama, sistem ABS dan Traction Control tidak banyak campur tangan. Jika anda mahu, kedua-dua sistem keselamatan ini juga boleh ditutup sepenuhnya. Penukaran mod kepada Sport dan Track tidak boleh dilakukan secara bergerak, tetapi yang lain boleh dilakukan dengan hanya menekan satu butang bertanda M di bahagian kawalan kiri, menutup pendikit dan menekan butang pilih.

Selain daripada aspek kuasa, kepuasan memecut RS765 juga ditambah dengan adanya penukar gear IntelliShift, iaitu quickshifter daripada Triumph. Untuk menghargai sistem penukar gear ini, anda perlu menghilangkan kebiasaan melepaskan pendikit apabila masuk gear kerana ia akan lebih lancar sekiranya anda memecut pantas, dan terus menyungkit gear ke atas apabila sudah sampai tahap rpm tinggi.

Walaupun begitu, untuk menurunkan gear, quickshifter ini tidak menyediakan fungsi ‘auto-blip’ iaitu meningkatkan rpm seketika secara automatik sebelum menurunkan gear. Bermakna, anda masih perlu menggunakan klac untuk menurunkan gear. Tetapi, saya dapati, jika tangan anda cukup pantas untuk menaikkan sedikit sahaja rpm sambil menekan tuil gear, anda masih boleh melakukan penukaran gear tanpa klac.

Satu kelebihan Street Triple yang sukar ditandingi sejak dari dulu adalah keseimbangan badannya. Untuk model baru 765, perkara ini masih diwarisi – ia mudah dikendali, lincah dan cukup stabil untuk mengambil selekoh. Sebab itulah, dengan kelebihan yang ada ini, ia mungkin boleh menyaingi motosikal sports berkuasa lebih tinggi di jalan berliku.

Bagi model RS765, perkara ini ditambah baik, di mana pembeli akan mendapat sistem suspensi Ohlins STX40 boleh laras sepenuhnya di belakang dan Showa 41 mm USD piston besar boleh laras sepenuhnya di hadapan. Berat keseluruhan motosikal ini pula hanyalah 166 kg.

Brek bagi model RS765 ini juga adalah sama tahap dengan motosikal sports 1,000 cc, iaitu unit Brembo M50 Monobloc berkembar di hadapan dengan cakera terapung 310 mm, dan di belakang terdapat cakera 220 mm tunggal dengan angkup Brembo satu piston. Jadi, kuasa penghentian yang dihasilkan memang mantap.

Masuk ke zaman moden ini, semakin banyak motosikal yang menggunakan paparan meter digital dan Triumph tidak ketinggalan, dengan unit yang diberikan pada model RS adalah skrin TFT 5 inci berwarna penuh. Melaluinya, penunggang dapat melihat semua informasi penting motosikal, malah ia didatangkan dengan beberapa pilihan tema yang dapat membantu penunggang menyesuaikan diri dengan paparan kegemaran mereka. Tahap condong skrin ini juga boleh dilaras.

Paparan dan pilihan menu yang ada pada skrin ini boleh dilakukan dengan mudah menggunakan butang berbentuk joystick di sebelah kiri pemegang, namun untuk keselamatan, anda disarankan melakukan pilihan sebelum bergerak. Seperti yang diberitahu awal tadi, pilihan mod tunggangan menggunakan butang khas yang lebih pantas.

Walaupun adalah unit digital, skrin ini dapat memberikan paparan yang jelas dalam pelbagai keadaan kerana ia didatangkan dengan ciri pelarasan kontras automatik. Bermakna tidak kira siang, malam atau anda memasuki terowong secara tiba-tiba, skrin ini akan melaras paparan supaya dapat dilihat oleh penunggang.

Triumph Street Triple RS765 dijual pada harga RM66,900 (tidak termasuk ekzos Arrow), tetapi orang ramai masih lagi diberikan pilihan untuk dua versi lagi bagi Street Triple 765 ini iaitu R LRH yang menawarkan kedudukan lebih rendah, pada harga RM58,900 dan S yang lebih asas pada harga RM52,900.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • BOYRACER on Aug 04, 2017 at 1:17 am

    Review yang baik.Cukup padat dan berinfomasi.Triumph Street Triple ini adalah
    salah satu model dari Triumph yang paling minati.

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required