Nissan telah memperkenalkan fungsi baharu yang bakal dipadankan pada kereta-kereta mereka buat masa akan datang digelar Rear Door Alert (RDA atau amaran pintu belakang), bagi membantu memberikan peringatan kepada pemilik kenderaan yang selalu terlupa untuk mengambil barang yang diletakkan pada bahagian belakang kenderaan.
Menurut Nissan, sistem ini amat penting kerana suhu kabin kenderaan akan meningkat kepada tahap yang mampu membunuh sekiranya kereta berhenti tanpa membuka sebarang tingkap dan penghawa dingin tidak dihidupkan. Ini tentunya bakal merosakkan barang yang ditinggalkan tersebut, dan lebih teruk sekiranya pemilik terlupa untuk membawa keluar kanak-kanak dari kereta.
“Kami bersaing antara satu sama lain dan kami tahu kami melakukan perkara yang betul apabila pada suatu malam apabila pulang ke rumah, Marlene menyedari dia telah terlupa untuk membawa keluar sepinggan lasagna di tempat duduk belakang setelah seharian di pejabat,” kata Elsa Foley, salah seorang ahli pasukan Pusat Teknikal Nissan Amerika Utara (NTCNA).


“Perkara yang lebih teruk terjadi adalah kereta tersebut berbau untuk berberapa hari, tetapi ia telah membuatkan saya bertanya pada diri sendiri, ‘apa yang terjadi sekiranya benda lain di belakang sana?'”tambahnya. Ini menyebabkan tercetusnya idea untuk menghasilkan RDA, yang akan diperkenalkan buat pertama kali pada SUV Pathfinder 2018 September nanti.
Sistem ini agak mudah di mana ia akan memberikan peringatan kepada pemandu untuk memeriksa semula tempat duduk belakang dengan menggunakan bunyi hon tersendiri setelah mereka beredar dari kereta. Ia akan mengesan sama ada tempat duduk belakang dibuka atau tidak sepanjang perjalanan, dan sama ada pintu belakang tersebut dibuka semula setelah kereta berhenti sepenuhnya dan pemandu telah keluar dari kenderaan.
“Ideanya jika anda membuka pintu belakang, sama ada untuk meletakkan kanak-kanak atau bungkusan pada tempat duduk belakang, kenderaan akan membantu untuk mengingatkan anda apabila anda sampai ke destinasi dan mungkin anda perlu memeriksa tempat duduk belakang. Kami menghasilkannya supaya ia cukup masa untuk anda dan anda tidak perlu tergesa-gesa, tetapi jika anda tidak membuka pintu belakang sekali lagi apabila anda keluar dari kenderaan, kami mahu anda ingat kembali seketika apa yang telah anda letakkan pada tempat duduk belakang,” jelas Marlene Mendoza, seorang lagi anggota NTCNA.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.