VIDEO: Mengapa PENTING dan PERLU pakai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang

Sebagai seorang pemandu, adalah juga menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan (atau menyuruh) penumpang sama ada di hadapan atau pun di belakang supaya memakai tali pinggang keledar. Bukan kerana takut disaman pihak berkuasa, namun ia adalah demi keselamatan semua.

Namun demikian, berapa peratusan di antara kita, sebagai pemandu atau penumpang, yang memakai tali pinggang keledar? Jika di Amerika Syarikat, menurut kajian Institut Insurans bagi Keselamatan Lebuhraya (IIHS) menunjukkan, empat daripada lima individu tidak memakai tali pinggang keselamatan bila duduk di belakang.

Di Malaysia pula, MIROS pernah berkata, hanya 7-9% penumpang di belakang yang memakai tali pinggang keledar, dan angka ini adalah yang paling rendah di Rantau Asia Tenggara, seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Organisasi Keselamatan Dunia (WHO).

“Bagi kebanyakan orang dewasa, adalah masih selamat untuk duduk di bahagian belakang, seperti mana di hadapan, tetapi tidak sekiranya anda tidak memakai tali pinggang keledar,” ujar Jessica Jermakian, jurutera kanan di IIHS.

Dalam kajian yang dilakukan di negara berkenaan, orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang ditemui di antara bulan Jun dan Ogos tahun lalu, dengan keseluruhan mencecah 1,172 responden, menunjukkan 91% daripada mereka memakai tali pinggang keledar apabila duduk di hadapan, dan hanya 72% sahaja yang mengaku memakai tali pinggang keledar bila duduk di belakang.

“Individu yang tidak memakai tali pinggang keledar ini mungkin merasakan yang mereka tidak akan mencederakan orang lain. Itu bukan alasannya. Pada tempat duduk belakang, tali pinggang keledar untuk bahagian paha/bahu diciptakan untuk melindungi pelanggaran hadapan. Tanpanya, tubuh badan akan terhumbang ke bahagian permukaan atau penumpang lain dalam kelajuan yang tinggi, sekaligus boleh menyebabkan kecederaan,” tambah Jermakian.

Risiko pemandu terbunuh dalam kemalangan adalah dua kali ganda sekiranya penumpang di belakangnya terhumban ke hadapan. Di Amerika Syarikat, penumpang belakang dilindungi undang-undang di 29 buah negeri.

Sementara di Malaysia, penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang adalah diwajibkan di seluruh negara sejak 2008, namun sayangnya, kadar pematuhannya menyusut dari 47% pada awal 2009 menjadi 7-9% pada tahun 2015. Dan bukan memikirkan tahap keselamatan, masih ramai di antara kita yang berkata, memakai tali pinggang di tempat duduk belakang adalah disebabkan takut kena saman pihak berkuasa.

Untuk anda semua, ubahlah pemikiran, utamakan keselamatan anda dan orang di sekeliling anda. Jangan tidak mengendahkan pematuhan pemakaian tali pinggang keledar ini ketika anda berada di dalam kenderaan, tidak kiralah sama ada perjalanan jauh mahu pun dekat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required