Dokumen dalaman yang tersebar menerusi Internet baru-baru ini mendedahkan Nasim bakal menawarkan waranti lanjutan bagi model Peugeot, Citroen dan DS. Menurut sumber, Program Penambahan Waranti ini bakal dilancarkan pada September 2017, bagi semua model yang dijanakan dengan enjin 1.6 liter naturally-aspirated dan pengecas turbo, yang didaftarkan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2015.

Ini termasuklah bagi setiap model Peugeot dan Citroen yang dijual pada tarikh yang dinyatakan, dengan hanya Peugeot 207 Sedan dan 407 juga termasuk enjin diesel bagi Citroen Grand C4 Picasso BlueHDi dan peugeot 508 GT yang tidak termasuk dalam senarai tersebut. Bagi Citroen dan DS, ia termasuk dengan kenderaan yang dijual di bawah pengedar sebelum ini, Brooklands Motors.

Lanjutan ini turut membawakan waranti pelindungan sehingga tujuh tahun atau perbatuan sehingga 250,000 km dari tarikh pendaftaran, mana yang tiba terlebih dahulu, termasuk kenderaan yang menerima pelindungan waranti lima-tahun oleh Nasim sendiri. Kenderaan yang diselenggara di pusat servis yang bukan kelolaan Peugeot atau Citroen, selepas tamat waranti juga layak untuk menyertai program ini, bergantung pada pemeriksaan.

Pelindungan bagi komponen termasuklah bagi enjin, kotak gear dan komponen yang berkaitan dengan operasinya, seperti driveshaft dan litar penyejukan serta bahan api. Begitu juga dengan bateri dan sistem brek anti-penguncian juga termasuk dalam program ini.

Apabila dimaklumkan, pemilik perlu membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis berhampiran, di mana lanjutan waranti ini dibolehkan. Apabila proses selesai, kenderaan akan diselenggara di pusat servis bertauliah sepanjang tempoh lanjutan bagi membolehkan pemilik memperoleh faedah daripadanya.

Dokumen-dokumen terbabit sebelum ini menyatakan bahasa waranti lanjutan ini adalah berkenaan kebimbangan teknikal terhadap kenderaan Peugeot, Citroen dan DS, serta membina semula keyakinan pelanggan terhadap jenama-jenama ini. Sementara itu, Peugeot, Citroen dan DS serba baharu akan terus menawarkan waranti pengeluar yang sama iaitu lima-tahun/120,000 km, seperti sebelum ini.