Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) di dalam pembentangan prestasi separuh pertama 2017 semalam turut mengumumkan dua perkara penting berkaitan insurans kenderaan di negara ini.

Pertama, pengenalan Motor Product Selector di laman web PIAM, dengan pautan kepada semua penanggung insurans yang ada. Platform atas talian ini akan menyediakan maklumat-maklumat utama kepada pengguna berkaitan pelindungan insurans yang ada dan menghubungkan mereka dengan syarikat insurans.

Pengguna boleh memilih produk yang ingin mereka beli daripada penanggung insurans, dan meminta sebut harga dari satu langkah sahaja, menjadikan proses ini lebih mudah untuk mereka. Ini sangat relevan dengan perkembangan terbaru liberalisasi insurans kenderaan yang mula dilaksanakan kini.

Dengan pelindungan kenderaan komprehensif, kotak boleh ditandakan bagi perkara tambahan misalnya elaun hilang kegunaan/ketidakselesaan, pelindungan dari bahawa khas serta kemalangan individu. Semua ini tentunya akan menjadikan kos keseluruhan nanti lebih tinggi.

Setakat ini, 22 penanggung insurans tersenarai dalam pilihan produk yang disediakan ini, namun kami difahamkan kesediaan bagi pelindungan tambahan yang ditawarkan adalah berbeza dari satu penanggung dengan penanggung yang lain, dan tidak semua mereka menawarkan produk yang sama. Anda boleh cuba sendiri nanti, dan kongsikan pengalaman anda.

Perkara kedua yang dinyatakan ialah penubuhan Accident Assist Call Centre (AACC) untuk membantu pengguna yang terlibat dalam kemalangan. Perkhidmatan percuma ini akan mengaturkan bantuan bagi pengguna yang berada dalam kecemasan (khidmat tunda) serta menyediakan maklumat berkaitan tuntutan insurans.

Menurut PIAM, AACC akan turut membantu mengelakkan masuk campur pihak ketiga yang biasanya mengelirukan atau ingin mengambil kesempatan terhadap pengguna yang terlibat dalam kemalangan. Ia boleh dihubungi melalui talian 1-800-221188, ataupun hotline 15-500.