Selepas muncul di pusat pameran tempatan beberapa hari lalu, kini Mercedes-Benz Malaysia melancarkan secara rasmi varian terbaru bagi GLC iaitu GLC 200 CKD (pemasangan tempatan). Varian ini menyertai GLC 250 4Matic AMG Line dan AMG GLC 43 4Matic dalam barisan modelnya.

Harga yang ditetapkan untuk GLC 200 adalah RM288,888 (atas jalan, tidak termasuk insurans), dan ini adalah kurang RM37,000 berbanding GLC 250 4Matic, dan RM250,000 lebih murah berbanding GLC 43 4Matic yang berorientasikan prestasi. Melalui skim Agility Financing, anda boleh memiliki GLC 200 dengan bayaran bulanan RM2,888, berasaskan pemilikan selama tiga tahun, jarak perbatuan 20,000 km setahun dan bayaran muka 20.34%.

Menggerakkan model ini adalah enjin sama seperti GLC 250 iaitu unit empat silinder petrol 2.0 liter M274 DE 20, bersama padanan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan. Cumanya, kuasa GLC 200 adalah 184 hp dan 300 Nm, manakala kuasa GLC 250 adalah 211 hp dan 350 Nm. Selain itu, GLC 200 juga tidak mempunyai sistem pacuan semua roda 4Matic, dan kuasa disampaikan sepenuhnya kepada roda belakang sahaja.

Selain kuasa yang lebih rendah, GLC 200 juga tidak mempunyai kit penggayaan AMG Line seperti GLC 250 (walapun begitu, ia datang dengan pakej luaran Off-Road atau Exterior Chrome). Perbezaan bahagian luar lain yang boleh dilihat adalah rim 19 inci (1 inci lebih kecil berbanding GLC 250) dengan tayar 235/55 serta lampu utama LED prestasi tinggi (GLC 250 menggunakan lampu Intelligent Light System).

Pada bahagian dalam, sistem informasi dan hiburan Audio 20 CD serta skrin tujuh inci ‘terapung’ masih lagi diberi pada GLC 200, tetapi tiada sistem bunyi 590 W 13 pembesar suara. GLC 200 juga menggunakan kemasan kayu yang lebih pudar.

Bagi roda stereng pula, GLC 200 dilihat menggunakan unit tiga cabang biasa, berbanding roda stereng yang rata di bahagian bawah pada GLC 250. Harga yang lebih murah juga membuatkan GLC 200 tiada cakera brek berliang, bumbung panoramik, kamera keliling dan sistem pemasukan tanpa kunci.

Kelengkapan standard lain yang ada pada GLC 200 adalah termasuk pilihan kemasan kulit Artico hitam dan coklat dengan jahitan berwarna kontras, papan pemuka kulit, kamera undur, pengawal COMAND, pengawal suhu automatik tiga zon Thermotronic, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan sokongan belakang, corong pendingin hawa di belakang, Parking Pilot dan Parktronic, pintu but bukaan elektrik dan penghadang cahaya matahari belakang.

Anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan informasi dan spesifikasi GLC 200, bersama varian yang lain di CarBase.my.

GALERI: Mercedes-Benz GLC 200