Siri video Gymkhana yang dipopularkan oleh pemandu rali sensasi youtube dari Amerika Syarikat – Ken Block – kini sudah masuk edisi ke-10. Dan bagi menampilkan kelainan berbanding video-video sebelum ini, ia dibuat pada laluan off-road dan diberi tajuk “Terrakhana – The Ultimate Playground.”
Lebih spesifik, video terbaharu ini dirakamkan di Swing Arm City, Utah, Amerika Syarikat dan untuk kali ini, Team Hoonigan berkerjasama dengan pengeluar produk pelincir dan petroleum, Pennzoil.
Kali ini, Ken Block memilih jentera Ford Fiestanya yang dikenali sebagai Fiesta ST RX43 – dijana enjin EcoBoost 2.0 liter turbo menghasilkan 600 hp bersama tork maksima 650 Nm. Dengan sistem pacuan semua roda, Fiesta ST RX43 mampu memecut dari 0-60 batu/sejam dalam masa tidak sampai dua saat.
Secara keseluruhan, sebenarnya tiada aksi-aksi baharu yang dipaparkan dalam video baharu ini. Kebanyakkan aksi-aksi yang ditonjolkan dikitar semula dari video-video sebelum ini seperti memanjat lereng sambil drift, ‘sipi-sipi nak kena’, dan sideway secara full throttle.