Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memperkenalkan varian baru bagi model Triton, iaitu Triton VGT AT GL, yang dipasarkan pada harga RM103,800 atas jalan tidak termasuk insurans. Model ini menjadi model Triton VGT paling murah, dan berada di bawah varian paling tinggi VGT Adventure X (RM130,900) diikuti VGT Adventure (RM123,130) dan VGT AT/MT (RM114,400 dan RM107,600).

Sama seperti varian Triton VGT yang lain, varian baru ini menggunakan enjin sama iaitu unit 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan kuasa 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah automatik lima kelajuan dengan sistem pacuan Easy Select 4WD.

Varian VGT AT GL ini menggunakan asas VGT AT, dan datang lengkap dengan gril krom gelap, rim 16 inci, pengawal suhu automatik dan tempat duduk fabrik. Walaupun begitu, beberapa kelengkapan telah diubah supaya harganya boleh ditawarkan lebih murah.

Ini termasuk lampu xenon yang diganti dengan unit halogen reflector, dan ia tidak mempunyai lampu siang dan lampu kabus LED, serta penunjuk arah pada cermin sisi. Pada bahagian dalam, sistem pemasukan tanpa kunci serta skrin sesentuh turut dikeluarkan, diganti dengan sistem double-DIN. Jumlah pembesar suara juga hanya tinggal empat, daripada enam yang terdapat pada VGT AT.

Satu perkara yang baik adalah kelengkapan keselamatannya masih lagi sama, dengan dua beg udara di hadapan, ABS, EBD, BA, Active Stability Control, Traction Control, Hill-Start Assist, Trailer Stability Assist, pengesan undur dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

Setiap pembelian Triton VGT AT GL turut datang dengan jaminan lima tahun atau 200,000 km, seterusnya menjadikan Triton VGT satu-satunya trak pikap yang mempunyai jaminan selama itu (sebelum ini tiga tahun atau 100,000 km) sejak April 2017. Untuk mendekati model ini, anda boleh mengunjungi pameran bergerak MMM di AEON Tebrau City, Johor pada 19 hingga 24 September dan di Mid Valley Megamall pada 27 Oktober hingga 1 Oktober.

Anda juga boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi serta kelengkapan bagi semua model Triton di Malaysia di CarBase.my.