Toyota Camry dipertingkat di M’sia – kemasan dalam baharu tanpa kos tambahan, pilihan aksesori ditambah

Toyota Camry dipertingkat di M’sia – kemasan dalam baharu tanpa kos tambahan, pilihan aksesori ditambah

Memasuki tahun keenam ia berada di dalam pasaran Malaysia, Toyota Camry diberikan sedikit pembaharuan, iaitu bahagian dalamnya menggunakan kemasan baharu, tanpa sebarang kos tambahan, dan lebih banyak pilihan kelengkapan.

Semua model Camry kini mendapat kemasan kayu karbon, dengan model paling tinggi iaitu Hybrid Luxury diberikan tambahan balutan kulit Kogane (bermaksud emas dalam Bahasa Jepun). Pembeli juga kini boleh menambah soket pengecas USB pada harga RM212, cermin sisi boleh lipat automatik pada RM371, dan Panoramic View Monitor (PVM) 360 darjah untuk model 2.0G X pada harga RM2,650. Barangan ini turut diperkenalkan kepada model Altis dan Vios.

Selain daripada itu, senarai kelengkapan masih lagi sama, di mana model asas 2.0E didatangkan dengan lampu utama xenon dengan lampu siang dan lampu belakang LED, lampu kabus, rim 16 inci, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula, pengawal suhu dua zon, skrin pelbagai info 4.2 inci, tempat duduk larasan manual, pemain CD/DVD, enam pembesar suara dan pam tayar.

Model Hybrid Premium ditambah dengan lampu utama dan lampu kabus LED, kemasan kulit di dalam, tempat duduk larasan kuasa, pelindung cahaya di tingkap belakang, cruise control, perakam video digital dan filem penapis haba solar dan keselamatan. Model 2.0G X menggunakan lampu utama xenon, tetapi mempunyai rim 17 inci, pengecas Qi tanpa wayar, sistem hiburan dan informasi 2-DIN dengan skrin sesentuh, kamera undur, Bluetooth dan pemain DVD.

Akhir sekali, model Hybrid Luxury didatangkan dengan lampu utama LED, pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap automatik, ioniser udara, blind spot monitoring dengan rear cross traffic alert, sistem hiburan bersepadu dan 10 pembesar suara JBL GreenEdge. Semua model Camry mendapat tujuh beg udara, ABS, EBD, BA dan Vehicle Stability Control (VSC).

Spesifikasi mekanikal kenderaan ini masih tidak berubah, di mana model petrol menggunakan enjin 2.0 liter VVT-iW dengan D-4S direct injection, menghasilkan 167 PS dan 199 Nm tork, dan dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Varian hibrid pula menggunakan enjin 2.5 liter VVT-i Atkinson-cycle bersama motor elektrik, untuk menghasilkan keseluruhannya 205 PS kuasa.

Seperti yang dinyatakan tadi, tiada perubahan harga untuk Camry, bermakna varian 2.0E masih dijual pada harga RM148,600, 2.0G X RM155,400, Hybrid Premium RM160,200 dan Hybrid Luxury RM169,900. Semua harga ini adalah tidak termasuk insurans dan datang dengan jaminan lima tahun, tanpa had batuan. Bagi model hibrid, baterinya diberi jaminan selama lapan tahun.

GALERI: Toyota Camry Hybrid Luxury

GALERI: Toyota Camry 2.0G X

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required