Sejak dilaksanakan pada 15 April lalu, kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dipasang di seluruh negara telah berjaya mengesan 218,861 kes kesalahan trafik setakat ini.

Menurut rekod yang dicatatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), daripada jumlah kes yang dikesan sehingga 6 September lalu, sebanyak 18,913 adalah kes kesalahan melanggar lampu isyarat dan 199,948 lagi kesalahan memandu melebihi had laju, laporan Berita Harian.

Dalam laporan yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata pengguna jalan raya yang dikesan melanggar peraturan dikenakan tindakan kompaun.

“Kita yakin sistem ini dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini,” katanya kepada pemberita.

Ab Aziz berkata, sistem terbabit amat berkesan bagi mengesan kesalahan lalu lintas dan sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada pengguna.

“Pendekatan pemasangan kamera AWAS dapat meningkatkan kemampuan kita menguatkuasakan undang-undang. Kalau dulu kita menggunakan kakitangan, tetapi sistem ini dapat membantu kita mengatasi masalah tidak cukup kakitangan. Ia juga berjaya mengesan kesalahan lalu lintas,” katanya.