Honda telah memperkenalkan kereta konsep baharu elektrik sepenuhnya pada Frankfurt Motor Show 2017 yang kini sedang berlangsung, digelar Honda Urban EV Concept. Menurut Honda, kereta konsep ini “akan menetapkan arah tuju untuk teknologi dan rekaan yang akan muncul pada model produksi Honda janaan bateri elektrik pada masa hadapan.”
Jadi, model elektrik yang direka seolah-olah jelmaan semula hatchback comel Honda Civic generasi pertama ini bukan sekadar bayangan, ianya bakal muncul dalam bentuk produksi sebenar pada tahun 2019. “Ini bukan sebagai visi masa hadapan; versi produksi sebenar kereta ini akan muncul di Eropah pada tahun 2019,” jelas Takahiro Hachigo, presiden dan CEO Honda, mengesahkan secara rasmi perkara ini.
Model ini direka dengan panjang keseluruhan 3,855 mm, atau 100 mm lebih pendek berbanding Honda Jazz sedia ada. Ia diberikan lampu hadapan bulat seperti Civic generasi pertama bersama jalur LED nyalaan siang disekeliling, mengapit ‘gril’ dengan logo Honda yang menyala, serta paparan yang emblem #Honda EV. Paparan berkenaan turut berfungsi untuk menunjukkan pelbagai mesej dan juga status cas kereta tersebut.
Bahagian belakang turut menerima konsep yang hampir sama dengan apa yang terapkan pada sebelah hadapan, tetapi bahagian lampu direka dengan bentuk segi empat, juga seakan lampu belakang Civic generasi pertama.
Beralih ke bahagian sisi pula, bayangan badan hatchback elektrik ini jelas hampir sama dengan Civic. Selain itu, ia diberikan kamera sisi pada bahagian pintu yang menggantikan fungsi cermin sisi. Tiang-A pula digelapkan bagi memberikan imej seolah-olah tingkap pintu bersambung dengan cermin hadapan.
Terdapat satu garis yang bermula dari hujung hadapan fender, dan ia berakhir dengan ukiran seperti kepala plag elektrik di sebelah tingkat sisi belakang. Bagi menyempurnakan rekaan kereta ini, ia diberikan rim pelbagai jejari dengan diameter yang agak besar serta tayar berprofil rendah.
Rekaan diinspirasi dari Civic generasi pertama terus diterapkan pada bahagian dalaman – jelas menerusi rekaan papan pemuka dua dek serta kemasan-kemasan dengan elemen kayu gelap. Ia juga turut diberikan paparan skrin informasi yang sangat lebar, bersama roda stereng berbentuk-empat segi.
Pintu kereta elektrik ini direka dengan bukaan terbalik atau lebih dikenali sebagai suicide door. Kedua-dua pintu berkenaan turut dipadankan dengan skrin yang memberikan imej dari kamera sisi pandang belakang.
Menurut Honda, kereta ini mampu membawa empat orang penumpang dengan selesa menerusi dua baris tempat duduk jenis ‘bench‘ (seperti bangku kantin sekolah). Paksi untuk tali pinggang keledar belakang juga berbeza dengan kereta biasa, di mana ia berpusat pada bahagian tengah, bagi membolehkan penumpang keluar dengan lebih mudah.
Kereta konsep elektrik ini juga diberikan sistem Honda Automated Network Assistant, yang menganalisa setiap keputusan destinasi yang diambil oleh pemandu bagi memberikan pilihan dan juga cadangan untuk keputusan seterusnya.
Kabel dan penyambungan pengecas hatchback elektrik ini ditempatkan di dalam bonet. Namun, Honda masih lagi belum mendedahkan perincian penuh berkenaan unit janakuasa kereta ini.
Buat masa ini, Honda masih lagi belum mempunyai model produksi sebenar kereta elektrik yang dijual dalam pasaran. Tetapi untuk masa depan, jenama dari Jepun berkenaan nampaknya bakal menawarkan kereta-kereta elektrik yang begitu menarik dan tidak membosankan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.