Rasanya sekarang ini, ramai yang sudah mengenali Ken Block dan siri video gymkhana keluaran beliau. Selain menunjukkan kemampuan kereta yang digunakan, Block juga sering menyelitkan aksi-aksi bahaya supaya video tersebut menjadi lebih menarik.
Dalam siri terbaru gymkhana ini, Block telah menggabungkannya dengan pendakian bukit (hill climb) di tempat yang terkenal dalam dunia perlumbaan iaitu Pikes Peak, di Colorado, Amerika Syarikat. Biasanya perlumbaan di Pikes Peak ini mengejar masa terpantas, tetapi dalam video Block ini, ia bukan sebegitu.
Sudah menjadi keunikan tersendiri Block, video ini dipenuhi dengan aksi drift dan kepulan asap, menggunakan jentera Ford Mustang 1965 Hoonicorn RTR V2 berkuasa 1,400 hp. Paling mengujakan apabila menonton video ini adalah melihat bagaimana Block begitu hampir dengan hujung curam sewaktu kereta sedang menggelungsur ke tepi.
Anda saksikan video di atas, dan beritahu kami adakah anda merasakan video Ken Block ini masih mengujakan untuk ditonton, atau ia sudah mula kelihatan sama sahaja dengan siri lain yang pernah dikeluarkan sebelum ini?