Dewasa ini, pelbagai alat dijual dalam pasaran yang didakwa mampu menjimatkan penggunaan bahan api kereta anda, dan dijual pada harga yang agak mampu milik. Namun persoalannya, adakah alat-alat berkenaan benar-benar berkesan seperti yang didakwa atau ianya hanya ‘palcebo effect‘ semata-mata?

Untuk mengetahui adakah alat-alat sedemikian benar-benar berkesan atau tidak, Marty dan Moog dari Mightycarmods, Australia melakukan ujian terhadap alat-alat berkenaan. Ujian ini dijalankan dengan menggunakan sebuah Toyota Corolla hatchback E9 dan mereka membuat sebuah botol yang bertindak sebagai tangki minyak custom bagi membolehkan jumlah bahan api dipantau dengan mudah bagi ujian berkenaan.

Sebelum melengkapkan kereta tersebut dengan alat-alat penjimat bahan api berkenaan, kereta itu dipandu terlebih dahulu di sebuah litar drag dan ia dipandu dalam jarak 4.7 km. Setelah bacaan petrol di dalam botol tersebut direkod, mereka mula memasang pelbagai alat penjimat bahan api yang dibeli menerusi internet.

Alat-alat yang dibeli oleh Marty dan Moog ini sebahagiannya adalah sama seperti yang terdapat di Malaysia (dilabelkan dengan pelbagai jenama berbeza, tetapi sebenarnya benda yang sama), antaranya penstabil voltaj (voltage stabilizer) yang dipasang pada soket pencucuh rokok 12V, penstabil voltaj yang dipasang terus pada bateri lengkap dengan wayar bumi tambahan, magnet yang dilekatkan pada paip bahan api yang didakwa mampu ‘memecahkan molekul’ petrol, ‘kipas turbin’ yang dipasang antara penapis udara dan manifold kemasukan udara ke enjin dan juga ‘pemampat mikro’ yang didakwa mampu memberikan udara tambahan ke kebuk pembakaran yang dipasang menerusi paip vakum enjin.

Setiap alat berkenaan didakwa mampu menjimatkan sehingga 20-30% penggunaan bahan api disamping mampu meningkatkan prestasi enjin. Selepas kesemuanya dipasang, perjalanan sejauh 4.7 km yang sama dibuat untuk melihat penggunaan bahan api kereta tersebut.

Namun apa yang mengejutkan, dengan pemasangan kesemua alat-alat berkenaan, penggunaan bahan api Corolla tersebut nampaknya bukan semakin jimat, malah semakin teruk. Menurut Marty, keputusan tersebut berkemungkinan disebabkan pelbagai faktor antaranya vakum yang telah dibocorkan oleh ‘pemampat mikro’ yang digunakan serta pelbagai lagi.

Satu lagi yang boleh membuatkan kita berfikir, sekiranya teori-teori yang menggunakan kaedah-kaedah mudah dan murah ini benar-benar berkesan, mengapa pengeluar-pengeluar automotif tidak memadankannya sebagai ciri standard terus dari kilang? Sebaliknya mereka lebih rela melabur jutaan ringgit bagi menghasilkan teknologi-teknologi yang lebih rumit bagi mengurangkan sedikit penggunaan bahan api dari masa ke masa.