Bulan lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah mengumumkan ketibaan dua varian baru bagi SUV Fortuner pasaran Malaysia iaitu 2.4 VRZ A/T 4×4 dan 2.4 VRZ A/T 4×2, namun harganya tidak diberitahu. Kini, ia sudah dikeluarkan, menyaksikan harga masing-masing ditetapkan pada RM195,800 dan RM185,500, iaitu lebih tinggi daripada model 2.7 SRZ A/T 4×4 yang berharga RM181,800. Harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans bagi pendaftaran individu persendirian di Semenanjung Malaysia.
Varian 2.4 VRZ baru ini menggunakan enjin sama seperti varian permulaan 2.4 A/T 4×4 yang berharga RM169,800, iaitu unit empat silinder diesel 2,393 cc DOHC VNT yang berkuasa 148 hp dan 400 Nm tork, tetapi transmisi automatik enam kelajuannya boleh dikawal dengan tambahan pedal penukar di belakang stereng seperti varian 2.7 SRZ yang menggunakan enjin petrol 2,694 cc.
Untuk senarai kelengkapan, varian 2.4 VRZ mempunyai barangan hampir sama seperti varian 2.7 SRZ, antaranya termasuk lampu utama Bi-projector, Vehicle Stability Control (VSC), Hill Start Assist, tujuh beg udara SRS, pendingin hawa automatik, tempat duduk kulit berwarna coklat, pintu but kuasa elektrik, lampu kabus LED dan cruise control.
Selain penambahan dua varian baru ini, UMW Toyota juga telah memberi sedikit naik taraf bagi varian lain, iaitu untuk 2.7 SRZ (dan 2.4 VRZ 4×4), ia didatangkan dengan ciri Downhill Assist Control (DAC) yang dapat membantu kenderaan mencengkam lebih baik sewaktu turun dari atas bukit. Selain daripada itu, brek cakera untuk roda belakang juga kini didatangkan standard bagi semua varian.
Semua varian Toyota Fortuner ini didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa sebarang had batuan, dan anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi, serta membandingkannya dengan kenderaan lain di www.CarBase.my.



Toyota Fortuner
dari RM 195,880
Toyota Yaris Cross
dari RM 99,900
Toyota Hilux
dari RM 226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM 198,000
Toyota bZ4X
dari RM 220,000
Toyota GR Yaris
dari RM 315,600
Toyota GR Corolla
dari RM 368,950
Toyota Camry
dari RM 221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM 133,800