Belanda menjadi negara Eropah terbaru yang mengikut jejak langkah untuk melarang jualan kenderaan petrol dan diesel menjelang tahun 2030. Sebelum ini, langkah sama turut diumumkan oleh Perancis dan Britain – dalam usaha untuk menuju ke arah pengangkutan tanpa pencemaran.

Langkah itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang yang diumumkan oleh kerajaan Belanda, seperti dilaporkan NL Times. Negara terbabit mensasarkan untuk mencapai pengurangan sebanyak 49% bagi pembebasan gas emisi keseluruhannya menjelang 2030, dan akan memperuntukkan sebanyak 4 bilion Euro bagi peralihan kepada tenaga bersih. Negara itu juga akan melaburkan sejumlah 100 juta Euro dalam menyediakan prasarana bagi pengayuh basikal.

Jerman juga dilaporkan akan mengenakan larangan jualan terhadap kenderaan baru yang dikuasakan diesel pada masa akan datang – bagaimanapun masih belum ada tempoh waktu yang ditetapkan. Canselor Jerman, Angela Merkel berkata langkah itu pasti akan diambil – kemungkinan pada 2030 juga.

Negara pertama di Eropah yang mengumumkan akan menamatkan jualan kenderaan dengan sistem pembakaran konvensional ialah Norway, yang mensasarkan untuk melaksanakan langkah itu pada 2025. Diperingkat kebangsaan, Paris, Madrid dan Mexico City turut mengumumkan akan melarang penggunaan kenderaan diesel di atas jalan mereka, juga pada 2025.